Guru Kafa mengaku tidak salah sebabkan murid patah kaki di Marang


Guru itu didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang murid lelaki berusia sembilan tahun, sehingga menyebabkan patah tulang di bahagian kaki kanan.

SEORANG guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Marang, Terengganu pada Rabu atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang murid lelaki sehingga patah kaki pada Julai lepas.

Ahmad Mursyidin Abdullah, 37, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda.

Guru itu didakwa sengaja menyebabkan cedera parah terhadap seorang murid lelaki berusia sembilan tahun, sehingga menyebabkan patah tulang di bahagian kaki kanan dengan cara mengangkat dan menghempas kanak-kanak itu di atas sebuah kerusi kayu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Majistret menetapkan ikat jamin sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin, manakala 17 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh tidak boleh mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sepanjang prosiding berkenaan serta tidak boleh terbabit dengan jenayah.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiyah Nik Soupy, manakala tertuduh diwakili peguam Abdul Hayyi Salim.

Dalam kejadian Julai lepas, insiden tersebut disedari ibu mangsa berusia 36 tahun sewaktu mengambil kanak-kanak itu pulang dari kelas pada pukul 5 petang.

Murid itu kemudiannya dibawa ke klinik berhampiran bagi pemeriksaan dan disahkan kaki kanan kanak-kanak terbabit patah dan laporan polis berhubung kejadian tersebut dibuat ibu bapa mangsa pada 8 Julai lalu. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram