Amaran ribut petir, air Sungai Klang di paras bahaya akibat hujan sejak awal pagi


  • Primer
  • Rabu, 12 Okt 2022

Keadaan semasa Sungai Klang, Kuala Lumpur selepas hujan lebat pada pagi Rabu. — Twitter

PARAS air Sungai Klang berada di peringkat bahaya susulan hujan lebat yang berlaku sekitar Putrajaya, Kuala Lumpur dan beberapa kawasan di Selangor pada Rabu pagi.

Menerusi ciapan Twitter, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, aras air sungai meningkat sehingga 31.21m dan 31.00m (meter) di tiga buah kawasan.

"Perhatian penting, aras air peringkat bahaya pada 12 Oktober 2022, pukul 6:30 pagi.

"Lembangan Sungai Klang, Sub Lembangan Sungai Gombak dan Stesen Sungai Gombak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur mencatat aras air setinggi 31.21m/31.00m," katanya di Twitter.

Beliau turut berpesan pada orang ramai agar berhati-berhati memandu kenderaan ke tempat kerja.

"Hati-hati bawa kenderaan ke tempat kerja. Putrajaya, WPKL dan beberapa kawasan di Selangor hujan lebat pagi ini," ujarnya.

Dalam pada itu Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir hampir di seluruh negara sehingga pukul 10 pagi ini.

MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran itu dikeluarkan susulan hujan lebat serta angin kencang di seluruh negeri Pulau Pinang, Perak, Pahang Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram