RISIKO Kuala Kedah, Kedah dilanda banjir mula terasa apabila fenomena air pasang besar sekali lagi melanda kawasan itu pada awal pagi Selasa.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, bacaan paras air laut mencecah setinggi 2.92 meter merupakan yang tertinggi setakat ini dicatatkan berlaku berbanding sebelum ini.
“Air mulai naik dan memasuki kawasan penduduk di sepanjang persisir pantai bermula jam 1.15 pagi dan perlahan-lahan surut jam 2.30 pagi.
"Langkah keselamatan telah diambil APM dengan menempatkan anggota untuk melakukan pemantauan di kawasan ‘hotspot’ seperti Terminal Feri Kuala Kedah, Taman Seri Putra, Pasar Kota Marina dan Kampung Tepi Laut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Sementara itu, bimbang berlakunya banjir akibat pertembungan air laut dan sungai ini APM turut mengambil langkah aktif dengan melakukan pemantauan di beberapa sungai utama di daerah ini yang berisiko berlakunya banjir.
Norlizawati berkata, hanya dua rumah di Kampung Alor Gunong terjejas namun air kembali surut sejam kemudian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram