MB Selangor menghadap Sultan Selangor


  • Primer
  • Selasa, 11 Okt 2022

Amirudin Shari (kiri) menghadap Sultan Sharafuddin (tengah) pada pagi Selasa. — Gambar fail

MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dijangka memberi taklimat kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, berhubung keputusan kerajaan negeri tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pembubaran Parlimen.

Beliau tiba di Istana Bukit Kayangan di Shah Alam pukul 10.05 pagi Selasa untuk menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memaklumkan perkara itu.

Pada Isnin, Amirudin memaklumkan, beliau akan menghadap Sultan Sharafuddin pada Selasa untuk memberikan taklimat berkenaan perkara itu.

Amirudin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor berkata, PH kekal pendirian tidak mahu mengadakan PRU15 pada tahun ini dengan mengambil risiko kemungkinan banjir.

Pendirian itu dibuat selepas Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiga negeri PH iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang tidak akan membubarkan DUN jika PRU15 diadakan tahun ini seperti diputuskan dalam mesyuarat Majlis Presiden.

Bagaimanapun Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesyorkan Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor mengambil tindakan sewajarnya iaitu membubarkan DUN masing-masing pada tarikh yang sama. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram