Perkenan bubar Parlimen, Agong akui kecewa situasi politik semasa


  • Politik
  • Isnin, 10 Okt 2022

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menzahirkan rasa kecewa dengan perkembangan politik semasa negara dan tidak mempunyai pilihan selain memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen.

Menurut Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin, Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa negara yang kukuh adalah penting bagi menjamin kestabilan politik dan kemakmuran ekonomi berterusan demi kesejahteraan negara dan rakyat.

"Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan harapan agar Suruhanjaya Pilihan Raya menjalankan Pilihan Raya Umum ke-15 dalam tempoh terdekat dengan mengambil kira Monsun Timur Laut yang diramal bermula pertengahan bulan November 2022," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Pada masa sama, Baginda mengajak rakyat bersama mendoakan agar negara dan rakyat sentiasa dirahmati, diberkati dan dilindungi daripada sebarang bentuk musibah khususnya bencana banjir.

Terdahulu, bekas Perdana Menteri, Ismail Sabri, mengumumkan bahawa beliau mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong bagi pembubaran Parlimen Ke-14, berkuat kuasa pada Isnin.

Ahmad Fadil berkata, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Ismail Sabri di Istana Negara, pada jam 12 tengah hari Ahad.

"Setelah memperhalusi permintaan tersebut, maka Seri Paduka Baginda selaras dengan kuasa-kuasa Baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sepertimana yang termaktub di bawah Perkara 40(2)b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan memperkenankan permintaan Naib Presiden Umno bagi pembubaran Parlimen ke-14," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram