Kopi Ahmad, kreativiti pencetus rezeki anak muda 21 tahun di Klebang


  • Bizz
  • Selasa, 11 Okt 2022

Ahmad Usamah menjual kopi dan teh panas di Klebang, Melaka.

UNTUK menjadi orang yang berjaya dalam bidang perniagaan, modal dan semangat saja belum mencukupi.

Kreativiti juga amat penting dalam dunia usahawan memandangkan elemen itu dapat mengembangkan lagi idea untuk memperluaskan perniagaan.

Itu yang ditampilkan seorang pemuda di Melaka apabila menggunakan kreativitinya sebagai seorang mekanik basikal untuk mengubah suai beca untuk menambah pendapatan melalui jualan kopi dan teh secara pandu lalu.

Hanya berbekalkan modal simpanan RM500, Ahmad Usamah Nazar, 21, mengambil langkah berani untuk memulakan jualan kopi dan teh panas berharga RM2 secawan dengan jenama Kopi Ahmad.

Dia sudah menjalankan perniagaan itu sejak tahun lalu dengan hanya menggunakan beca terpakai milik keluarganya itu.

Jelas Ahmad Usamah, setelah hampir setahun mengusahakan jualan kopi dan teh, ia semakin mendapat sambutan dan mampu meraih pendapatan kasar antara RM180 hingga RM250 sehari.

"Namun ada kalanya jualan tidak habis dan saya akan sedekahkan kepada jiran berdekatan.

"Alhamdulillah bermula dengan menjual 15 cawan dan sekarang bilangan cawan meningkat dan rezeki juga semakin bertambah," ujarnya.

Tambahnya, selepas selesai berniaga, dia kemudian akan membuka bengkel basikal tidak jauh dari kawasan itu bermula jam 2 hingga 6.30 petang.

"Bukan mudah untuk berjaya tanpa usaha, yang penting kita manfaatkan usia muda dan kesihatan dengan baik untuk mencari wang sendiri," ujarnya lagi.

"Sebenarnya idea menjual minuman pandu lalu beca ini datang daripada abang saya selepas saya memberitahu minat untuk berniaga makanan.

"Selain minuman, saya juga menjual sarapan pagi yang ringkas seperti sosej, roti daging, sandwich, mi dan bihun goreng," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram