KUBUR seorang warga emas terpaksa digali semula selepas kematiannya disyaki terdapat unsur jenayah.
Menurut Ketua Polis Kedah, Datuk Wan Hassan Wan Ahmad, kerja penggalian semula kubur mangsa di Tanah Perkuburan Serdang itu sudah mendapat kebenaran dari Mahkamah Kulim, Kedah.
Jasad mangsa berusia 79 tahun itu dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian, sama ada mempunyai unsur jenayah atau sebaliknya.
Katanya, kerja penggalian dilakukan Jabatan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah sambil disaksikan wakil mahkamah dan ahli keluarga mangsa.
"Polis mengambil tindakan membuka semula kes yang pada mulanya disifatkan mati mengejut, kerana ada aduan daripada pihak keluarga yang tidak berpuas hati dengan permulaan siasatan itu.
"Dan, mungkin ada unsur-unsur lain, yang didakwa berlaku jenayah dan sebagainya. Jadi, kita buka kepada siasatan lanjut.
"Selepas bedah siasat, sekiranya terdapat elemen-elemen lain, ada unsur jenayah dan sebagainya, kita akan kita akan buka kertas siasatan yang bersabit kes berkenaan," katanya.
Wan Hassan berkata demikian selepas hadir pada Majlis Penyampian Hadiah Pertandingan Futsal dan Karate Piala Ketua Polis Negara di Stadium Suka Menanti pada Jumaat.
Penggalian kubur wanita berkenaan dilakukan susulan laporan dibuat anak mangsa yang mengesyaki kematian ibunya mungkin akibat perbuatan jenayah.
Ini berikutan, barang kemas mangsa iaitu gelang tangan dan cincin, serta telefon bimbit mangsa didapati hilang ketika mayat mangsa ditemukan.
Selain itu, anaknya turut mendakwa melihat kesan tompokan darah pada cadar serta kain lampin dipakai mangsa selepas membuat pemeriksaan lanjut.
Katanya, polis bertindak mengikut prosedur dan siasatan akan dijalankan secara rapi dan menyeluruh bagi mengetahui punca sebenar kematian wanita berkenaan. — Astro Awani
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram