Ganja dan ketum: Wujudkan dulu mekanisme kawalan


  • Primer
  • Khamis, 06 Okt 2022

Sutekno (dua dari kiri) bersama Abdul Halim (tiga dari kiri) ketika Majlis Perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2022 pada Khamis.

PERINDUSTRIAN ganja dan ketum perlu mewujudkan satu bentuk mekanisme kawalan teratur bagi melindungi rakyat di negara ini daripada sebarang kemudaratan akibat penyalahgunaan dan penagihan bahan-bahan psikotropik yang terdapat pada kedua-dua tanaman tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, perkara itu susulan pihak yang mencadangkan supaya dibenarkan pengeksportan ketum ke negara jiran.

"Saya berpandangan bahawa sebarang tanaman untuk tujuan eksport akan menjadi satu tanaman komoditi. Kemampanan tanaman komoditi pula sangat bergantung kepada harga pasaran," katanya dalam teks ucapan ketika Majlis Perasmian Simposium Sains Penagihan Dadah Kebangsaan 2022 pada Khamis.

Teks ucapan itu dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

Turut hadir Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, Sutekno Ahmad Belon.

Menurut Hamzah, Thailand mengisytihar untuk mengeluarkan ganja daripada senarai dadah narkotik perundangan mereka pada 9 Jun lalu.

Jelasnya, perkembangan itu membangkitkan cabaran baharu kepada Malaysia dalam mengekang aktiviti-aktiviti penyeludupan, pengedaran, penagihan dan penyalahgunaan dadah dalam negara.

"Kita juga merasa bimbang sebilangan rakyat Malaysia yang melancong ke Thailand akan mudah terdedah kepada produk-produk berasaskan ganja dalam bentuk makanan, minuman dan suplemen yang dijual bebas di negara tersebut.

"Tambahan lagi, produk-produk berasaskan ganja dalam bentuk makanan, minuman dan suplemen ini mungkin akan diseludup masuk ke negara kita untuk penjualan kepada orang ramai.

"Kita bimbang ada antara kita yang menjadi ketagih kepada ganja disebabkan pengambilan produk-produk ini tanpa sedar," katanya.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, selain ganja, kawalan terhadap tanaman ketum juga dilaksanakan di negara kita sejak tahun 2003.

Jelasnya, kawalan ini merangkumi kawalan khas ke atas aktiviti pengimportan, penjualan, pembekalan, pemilikan dan penggunaannya di bawah Peraturan-Peraturan Racun (Bahan-bahan Psikotropik) 1989.

"Pada Mesyuarat Reconvened 63rd Commision On Narcotics Drugs (CND), satu proses pengundian telah dijalankan bagi menimbang semula lapan usul WHO tersebut pada 2 Disember 2020.

"Keputusannya, 53 buah negara ahli telah menyokong hanya satu usul WHO iaitu mengeluarkan Ganja dan resin Ganja dari Jadual IV Konvensyen 1961 dan menolak tujuh usul lain.

"Walau apa-apapun keputusan Persidangan CND Ke-63 tersebut, pendirian Malaysia mengenai status kawalan ke atas ganja dan semua bahan-bahan berkaitan Glganja dalam negara masih kekal di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Tindakan undang-undang tetap akan diambil ke atas mana-mana pihak yang melanggar peruntukan di bawah akta itu," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram