TULAR satu video mengenai kebakaran di sebuah stesen minyak yang didakwa berlaku di Segambut, Kuala Lumpur pada Ahad.
Berdasarkan video tular yang berdurasi 59 saat itu menunjukkan sebuah kenderaan secara tiba-tiba dikelilingi api.
Selepas menyedari kejadian itu, kelihatan beberapa orang awam yang berada di kawasan tersebut terus meluru ke kenderaan berkenaan dan ingin memadam kebakaran terbabit.
Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada pukul 10.33 pagi.
"Sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Hartamas bersama beberapa jentera dikerah ke lokasi kejadian.
"Kebakaran berlaku membabitkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Nissan Serena di tempat mengisi minyak," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur berkata, kejadian terbabit menyebabkan kenderaan tersebut musnah sebanyak lima peratus.
"Pemandu kenderaan tersebut merupakan seorang wanita tempatan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kebakaran berjaya dipadam orang awam yang berada di lokasi menggunakan alat pemadam api di stesen minyak tersebut dan punca kebakaran masih dalam siasatan," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram