Dua beradik mati terkena renjatan elektrik depan adik bongsu, wayar jatuh dekat ampaian rumah di Teras Jernang


  • 112
  • Sabtu, 01 Okt 2022

Wayar elektrik yang ada pada bumbung rumah dan bersambung dengan ampaian baju menjadi punca kedua-dua mangsa meninggal dunia akibat renjatan elektrik. Gambar kecil: Norazlin Syahidah — Sinar Harian

DUA beradik lelaki berusia sembilan dan 10 tahun maut selepas terkena renjatan elektrik ketika mandi dalam besen di pekarangan rumah mereka di Kampung Teras Jernang, dekat Sepang, Selangor.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian itu berlaku pada Jumaat (30 September).

“Mangsa merupakan anak kedua dan ketiga daripada empat beradik," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Wan Kamarul Azran berkata, bapa mangsa sempat melihat dua anak lelakinya sedang mandi di dalam besen sebelum keluar ke kedai berhampiran.

"Bagaimanapun, apabila pulang, dia mendapati kedua-dua anak lelakinya tidak bernafas," katanya.

Beliau berkata, lelaki itu menyedari anak-anaknya terkena renjatan elektrik di mana arus elektrik itu dipercayai mengalir daripada sebatang besi penyangkut baju.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengesahkan punca elektrik daripada geseran antara wayar di tepi rumah dengan zink bumbung yang menyebabkan bekalan elektrik mengalir ke ampaian kain.

“Kedua-dua mangsa terkena renjatan elektrik akibat penyangkut kain yang berada di kawasan mandian,” katanya.

WhatsApp Image 2022-10-01 at 15.00.57

TNB mengesahkan punca elektrik daripada geseran antara wayar di tepi rumah dengan zink bumbung yang menyebabkan bekalan elektrik mengalir ke ampaian kain. — Ihsan polis

Wan Kamarul Azrul berkata, terdapat besi-besi terpakai yang tidak tersusun di sekeliling rumah memandangkan bapa mangsa pernah memiliki bengkel kereta sebelum ditutup.

“Dia terpaksa membawa semua barang di bengkel itu pulang ke rumah. Lelaki itu dan isterinya bekerja sebagai peniaga kedai makan di Teras Jernang," katanya.

Tambahnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat.

“Kita menasihatkan semua ibu bapa supaya berhati-hati dan tidak membiarkan wayar atau peralatan elektrik terdedah berselerakan tanpa pengawasan,” katanya.

Dalam pada itu, memetik laporan Sinar Harian, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Bangi, Norazlin Syahidah Ali berkata, tragedi menimpa dua beradik itu disaksikan oleh adik bongsu mangsa.

"Ada wayar elektrik pada tiang Tenaga Nasional Berhad (TNB) terputus dan terjatuh atas bumbung rumah.

"Ketika mereka bermain di luar rumah, mangsa (berumur 11 tahun) terpegang besi ampaian baju dalam keadaan basah dan terkena renjatan elektrik.

WhatsApp Image 2022-10-01 at 15.00.57 (1)

Polis mendapati terdapat besi-besi terpakai yang tidak tersusun di sekeliling rumah mangsa. — Ihsan polis

Norazlin Syahidah memaklumkan kedua-dua mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Teras Jernang.

Pihak sekolah sedang melaksanakan kutipan derma kilat untuk membantu keluarga tersebut yang dikatakan asnaf tanpa pendapatan tetap.

"Kutipan ini dilakukan bagi meringankan beban keluarga mangsa. Ibu bapa mangsa hanya bekerja sendiri, kutip botol, tin, tangkap ikan di sungai untuk dijual," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu keluarga mangsa boleh berbuat demikian sehingga 5 Oktober dengan menghubungi Norazlin Syahidah di talian 016-746818. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram