Polis cekup lelaki miliki senjata 'ciptaan' YouTube


  • 112
  • Jumaat, 30 Sep 2022

Suspek dipercayai menggunakan senapang angin itu bagi kegunaan sendiri dan belajar membuatnya daripada YouTube. — Gambar Hiasan

SEORANG lelaki memiliki senapang angin dan senjata tiruan yang dipelajari daripada YouTube antara 408 penagih ditahan dalam Op Tapis Khas dijalankan di seluruh negeri ini pada 26 hingga 28 September lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hasan Basri berkata, lelaki berusia 39 tahun itu ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Mewah Jaya, Setiawan, Perak pada 26 September kira-kira pukul 12.30 malam.

"Hasil pemeriksaan di rumah tersebut menemukan tiga laras senapang angin, sepucuk pistol tiruan, sebalang gas yang diubah suai, sepasang gari bersama sarung dan anak kuncinya serta satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dianggarkan seberat 6.34 gram (g) membawa kepada hasil rampasan dadah berjumlah RM350.

"Suspek dipercayai menggunakan senapang angin itu bagi kegunaan sendiri dan belajar membuatnya daripada YouTube,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Perak pada Jumaat.

Mohd Yusri berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek adalah positif selain memiliki satu rekod jenayah lampau berkaitan dadah dan suspek ditahan reman selama tiga hari sehingga 28 September dan kes disiasat di bawah Seksyen 39A (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seskyen 36 (1) Akta Senjata 1960 kerana memiliki senapang angin dan senjata tiruan.

Menurutnya, selain itu turut ditahan seorang lelaki berusia 22 tahun di kawasan Terminal Bas Meru Raya, Ipoh, Perak pada 26 September kira-kira pukul 5.30 petang, apabila menemukan 10 bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis heroin RM158,730 yang boleh digunakan bagi 115,000 penagih dadah.

"Ujian saringan air kencing ke atas suspek yang berasal dari Pulau Pinang ini adalah negatif dan terdapat satu rekod lampau bersabit kesalahan dadah. Suspek direman tujuh hari sehingga 3 Oktober di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Mohd Yusri berkata, dalam Op Tapis Khas itu, 21 sarang penagih dadah diserbu membawa kepada hasil tangkapan 390 lelaki dan 18 perempuan terdiri daripada lingkungan umur 16 hingga 63 tahun manakala 14 individu dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki ditangkap di bawah kesalahan berkaitan dadah.

"Dadah yang dirampas dalam Op Tapis tersebut terdiri daripada heroin, syabu, ganja, daun ketum, cecair ketum, pil erimin 5, pil yaba dan ketamin yang membawa kepada nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM194,091 selain penyitaan dua kereta, empat motosikal dan wang tunai sebanyak RM64,018,” tambahnya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram