ADIK bongsu ejen kosmetik yang diculik dan berjaya diselamatkan di Thailand, Rosnazirah Mohd Naim, 36, bersyukur dan mahu melepaskan kerinduan selepas mengetahui kakaknya sudah berada di Malaysia.
Adik Rosnazirah yang berusia 25 tahun itu berharap anggota polis dapat membawa kakaknya pulang dalam masa terdekat.
"Alhamdulillah, tak sabar nak peluk dia," katanya pada Jumaat.
Dia juga turut meminta orang ramai bersama-sama mendoakan keselamatan kakaknya selepas peristiwa sedih yang berlaku dalam keluarga mereka.
Sementara itu, kakak Rosnazirah berkata, mereka membuat persiapan untuk menyambut kepulangan adiknya dan akan berkumpul bersama ahli keluarga lain untuk solat hajat dan sujud syukur.
Katanya, sebelum ini mereka sekeluarga tidak putus-putus mengadakan solat hajat dan berdoa adiknya pulang dalam keadaan selamat.
"Selepas Ketua Polis Negara (Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani) memaklumkan Rosnazirah (Azie( sudah diselamatkan, kami bertambah yakin dia akan bertemu kami," katanya.
Menurutnya, setiap hari dia menerima panggilan dan mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada keluarga dan rakan-rakan terdekat bertanyakan Rosnazirah.
Dalam pada itu, Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, dalam sidang akhbar pada Jumaat berkata mangsa, akan dibawa pulang dalam tempoh terdekat.
Bagaimanapun wanita itu masih berada di Kuala Lumpur dan keadaannya juga baik.
Beliau turut memaklumkan ketika sepanjang proses menyelamat itu tiada sebarang bayaran dibuat kepada penculik.
“Alhamdulillah, kita akan membawa pulang mangsa dalam tempoh terdekat. Terima kasih kepada Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) yang bekerja keras dalam kes ini,” katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram