Cubaan bunuh diri tak patut ada dalam senarai jenayah, KJ mahu teruskan perbincangan


  • Massa
  • Rabu, 28 Sep 2022

Cubaan bunuh diri cuba dimansuhkan daripada senarai jenayah. — Bernama

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) dalam rangka usaha dan membentangkan hasil kajian cadangan untuk mengeluarkan cubaan bunuh diri daripada senarai jenayah.

Menterinya, Khairy Jamaluddin berkata, keputusan kajian Pejabat Peguam Negara (AGC) akan dibincangkan dengan wakil Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita baru sahaja menerima laporan hasil kajian daripada AGC berkaitan nyah jenayah (decriminalisation) cubaan bunuh diri. Saya memohon pemansuhan Seksyan 309 Kanun Keseksaan untuk tidak menjenayahkan kesalahan cubaan bunuh diri untuk kita mengadakan moratorium terlebih dahulu.

“Dalam sesi ini kita akan membincangkan keputusan hasil kajian yang diperoleh daripada AGC dan kita akan menyemak semula Memorandum Jemaah Menteri (MJM) jemaah menteri yang disediakan untuk dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya dalam Majlis Agihan Dana Bagi Program Kesihatan Mental kepada Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di Putrajaya pada Rabu.

Dalam pada itu, Khairy turut memberitahu pihaknya masih menunggu reaksi daripada beberapa agensi lain berkaitan cadangan tersebut.

“Sekarang kita perlu dapatkan pandangan daripada PDRM dan KDN,” jelasnya.

Draf MJM adalah bagi Memohon Pemansuhan Seksyen 309 Kanun Keseksaan (Akta 574) untuk Tidak Menjenayahkan Kesalahan Cubaan Bunuh Diri bagi mendapatkan kelulusan dasar Jemaah Menteri seperti yang telah disarankan oleh pihak AGC.

Untuk rekod, sebelum ini seorang lelaki didenda sebanyak RM3,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku salah atas pertuduhan cubaan bunuh diri.

Tertuduh, Shahfirul Hakim Shahidan yang ketika kejadian pada 2020 merupakan penganggur didakwa melakukan suatu perbuatan iaitu cuba terjun dari bangunan melalui pagar balkoni rumah yang cenderung ke arah berlakunya perbuatan membunuh diri. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram