Empat rakan selamat, budak 12 tahun ditemui lemas di Sungai Rajawali 


  • 112
  • Selasa, 27 Sep 2022

Mayat mangsa ditemukan pasukan penyelamat awal pagi Selasa kira-kira 10 hingga 12 meter dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh di Sungai Rajawali, Dungun.

KEGEMBIRAAN bertukar tragedi, itu yang dihadapi oleh lima rakan apabila salah seorang daripadanya ditemukan lemas selepas dilaporkan hilang di Sungai Rajawali, Dungun, Terengganu kira-kira pukul 6 petang pada Isnin.

Mangsa merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan difahamkan, sebelum kejadian mangsa keluar mandi bersama lima rakan sebaya kira-kira pukul 4.30 petang sebelum disedari hilang oleh rakannya pada pukul 6 petang.

Mayat mangsa, Abdul Rafiuddin Abdul Rashid ditemukan di dasar sungai awal pagi Selasa pada kedalaman 2.5 meter iaitu 10 hingga 12 meter dari jarak mangsa dipercayai terjatuh.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Dungun, Ahmad Kamal Hakim Ngah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira pukul 6 petang.

“Kita menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan satu kejadian lemas berlaku di Sungai Rajawali yang melibatkan seorang mangsa.

"Hasil maklumat awal mangsa dikatakan keluar mandi bersama lima rakan sebaya sebelum disedari hilang oleh rakannya kira-kira jam 6 petang," katanya.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa diberitahu tidak berbaju dan hanya memakai seluar panjang berwarna hitam.

Jelas beliau, pengadu membuat laporan berhubung kejadian di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dungun.

"Seramai 22 anggota termasuk Polis, Bomba dan APM melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa," katanya. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram