Cubaan culik murid depan sekolah di Ipoh, polis ditugas jadi PPS seluruh Perak


  • 112
  • Isnin, 26 Sep 2022

PIHAK sekolah juga diingatkan supaya lebih peka dengan individu yang mengambil murid selepas sekolah. — Gambar Hiasan

SIASATAN berhubung dakwaan cubaan culik seorang murid di hadapan Sekolah Kebangsaan Pengkalan, Taman Pinji Mewah di Ipoh, Perak yang tular menerusi media sosial pada Jumaat sedang dijalankan polis.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada ibu kanak-kanak itu pada pukul 9 malam hari sama.

"Polis telah menubuhkan satu pasukan siasatan khas bagi menyiasat kes ini dari pelbagai sudut di samping bekerjasama dengan Jabatan Pendidikan negeri serta pihak sekolah dalam mempertingkatkan langkah pencegahan dan keselamatan di sekolah.

"Ibu bapa diminta menghantar dan mengambil murid mengikut waktu ditetapkan dan memaklumkan kepada pihak sekolah jika mempunyai sebarang masalah mengenai urusan mengambil dan menghantar murid ke sekolah,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mohd Yusri berkata, pihak sekolah juga diingatkan supaya memastikan urusan menghantar dan mengambil murid dilakukan oleh ibu bapa dan penjaga yang sah sahaja.

"Selain itu, kami telah menempatkan pegawai polis sebagai pegawai perhubungan sekolah (PPS) di seluruh Perak,” katanya.

Kes berkenaan tular menerusi Facebook selepas bapa kanak-kanak berkenaan memuat naik satu hantaran mendakwa anaknya hampir menjadi mangsa penculikan namun berjaya menyelamatkan diri ketika berada di hadapan sekolah tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram