SEORANG pekerja binaan maut selepas tertimbus hidup-hidup dalam runtuhan konkrit di tingkat 51 sebuah tapak pembinaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur pada awal pagi Selasa.
Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Bandaraya, Nurul Adha Abdul Majid berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.23 pagi.
“Kami menerima panggilan kecemasan dan menghantar dua jentera bomba dan sebuah trak Perkhidmatan Penyelamat Perubatan Kecemasan bersama 20 anggota ke tempat kejadian.
“Pasukan kami tiba di tempat kejadian dan mendapati tingkat 51 bangunan yang sedang dalam pembinaan itu runtuh, dan seorang pekerja tertimbus di bawah runtuhan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pasukan itu segera membersihkan serpihan untuk mendapatkan mangsa.
"Anggota bomba bertindak memotong dan memecahkan besi konkrit bagi mengeluarkan mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan. Kami berjaya mengeluarkan lelaki itu dari konkrit pada pukul 7.21 pagi.
“Mangsa, seorang pekerja binaan warga Bangladesh, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” tambahnya.
Mayat kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, memetik laporan dari Malaysia Gazette, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner, Noor Dellhan Yahaya ketika dihubungi mengesahkan mengenai insiden tersebut.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat bagi mengetahui punca kematian.
“Kes berkenaan telah diklasifikasikan sebagai laporan mati secara mengejut (SDR),” jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram