'Tahun lepas huru hara', mangsa banjir mohon jangan dibiar menderita lagi


  • Massa
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Keadaan banjir yang melanda Shah Alam, Selangor pada hujung tahun lalu.

PENDUDUK Taman Sri Muda di Shah Alam, Selangor tidak mahu kejadian banjir dahsyat pada 18 Disember tahun lalu berulang.

Mereka mahu pihak berkuasa bekerja lebih keras untuk menyelenggara infrastruktur seperti membersihkan longkang yang tersumbat.

Selain itu, penduduk terbabit juga berharap pihak berkuasa akan lebih cekap dalam melaksanakan langkah-langkah menyelamat sekiranya banjir berulang.

Pemilik gerai makan, Siti Junizanor Zainudin, 35, yang menjalankan perniagaan di luar rumahnya di Jalan Bahagia 25/17, sebelum ini terkandas apabila tingkat bawah rumah dua tingkatnya ditenggelami air.

Katanya, lebih menyedihkan ketika kejadian dia bersama arwah anaknya yang menderita kanser otak.

"Saya mahu pihak berkuasa bersedia dengan bantuan, terutama bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang sakit," katanya.

Seorang lagi pemilik gerai makan, Norizan Sulaiman, 44, ibu kepada empat anak yang tinggal di Jalan 25/20, mahu Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) lebih peka terhadap mangsa banjir.

"Pengendalian pihak berkuasa ketika banjir tahun lepas huru-hara tanpa prosedur yang betul.

"Banjir itu tidak dijangka. Kami berharap mereka dapat menguruskan keadaan dengan lebih baik jika ia berlaku lagi," katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Zon D, Taman Sri Muda, Andrew De Silva berkata, masalah utama banjir sejak Oktober 2019 dan Ogos tahun ini adalah lebihan air yang mengalir dari Kemuning Utama dan Lebuh Raya Kesas melalui saluran air.

"Kita telah memanjangkan isu ini kepada pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSA pada 6 Ogos 2020 dan Januari 2021. Tapi masih belum terima jawapan lagi," katanya.

Taman Melawis di Klang, Selangor juga terkesan teruk ketika banjir dan penduduk berpendapat tragedi itu diburukkan lagi dengan sistem perparitan dan penyelenggaraan fasiliti yang lemah.

Pesara, Kardel Singh, 70, berkata, longkang tanah di hadapan rumahnya tersumbat dengan semak dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak mengambil sebarang tindakan.

"Terdapat kekurangan penyelenggaraan. Kami telah memaklumkan MPK dua kali.

"Dengan longkang tersumbat dan air pasang dari Sungai Klang, banjir tahun lalu berlaku dengan cepat kerana limpahan air.

"Kami boleh melihat keretakan dan hakisan di rumah kami kerana banjir itu," katanya.

Penduduk di Hulu Langat yang turut berdepan musibah banjir juga bersetuju supaya bantuan dapat ditingkatkan jika kejadian sama berulang.

Aktivis dan sukarelawan kemanusiaan Amalina Annuar, 27, berkata perlu ada tindakan selaras oleh pihak berkuasa untuk menguruskan banjir dengan lebih baik.

"Kami terpaksa menggunakan kerusi roda untuk membawa arwah nenek yang terlantar di rumahnya di Taman Lagenda Suria, ke rumah jirannya untuk berteduh.

"Dia terperangkap di sana selama 24 jam tanpa bantuan pihak berkuasa.

"Tiada alasan lagi. Perlu ada sistem amaran banjir yang lebih baik serta menaik taraf sistem perparitan di kawasan rendah," katanya. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram