
SEBANYAK 10 projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang terbengkalai di Pahang dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga tahun.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah berkata, kesemua projek ini diserahkan kepada Kerajaan Pahang oleh Felda secara rasmi.
“Di seluruh Pahang ada 10 tapak projek perumahan generasi kedua Felda yang terbengkalai 12 tahun, 20 tahun dan tidak mampu lagi diteruskan oleh Felda.
“Dua minggu lepas, Felda serahkan secara rasmi projek ini kepada Kerajaan Negeri untuk kita (Kerajaan Negeri) lantik kontraktor penyelamat bagi menyiapkan projek ini dalam masa tiga tahun hingga empat tahun,” katanya.
Beliau berkata, demikian ketika ditemui selepas merasmikan dan menyampaikan bantuan kepada pelajar dalam Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kerajaan Negeri Pahang Dengan Kerjasama Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) Bersama-sama Penduduk Felda Sungai Retang di Balai raya Felda Sungai Retang pada Sabtu.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif PAIP, Encik Saiful Zaini Mohd Bokhari, dan Pegawai Daerah Jerantut, Puan Khairun Nissa Aris.
Beliau berkata, setakat ini lima projek dikenalpasti berada dalam kategori boleh dilaksanakan manakala lima projek lagi dalam proses perundangan.
“Bagi projek dalam proses perundangan, Felda perlu selesaikan dulu kerja-kerja dia dengan kontraktor lama, tuntutan kontraktor lama, konsultan, tuntutan mahkamah dan yang dimaklumkan Felda perlu menjelaskan lebih kurang RM 20 juta bagi lima tapak perumahan tersebut.
“Selepas selesai semua ini, barulah boleh diserahkan kepada Kerajaan Negeri untuk kita lantik kontraktor untuk siapkan.
“Lima tapak projek yang boleh dilaksanakan antaranya ialah di Felda Bukit Tajau, Felda Jengka 12, Felda Jengka 1, dan Felda Sungai Retang,” katanya.
Tambah beliau lagi, Kerajaan Pahang tidak mengeluarkan peruntukan namun bertindak sebagai pemangkin bagi menyelesaikan projek perumahan tersebut.
“Projek ini tidak libatkan satu sen duit Kerajaan Negeri dan Felda yang mana kontraktor penyelamat berurusan dengan Kementerian Kewangan (MOF), mereka dah dapat kelulusan kepada pelan yang diiktiraf MOF dan menggunakan duit bank untuk laksanakan projek tersebut.
“Dan melalui duit tersebut jugalah yang akan diberi pinjaman kepada pembeli-pembeli perumahan tersebut pada masa akan datang,” katanya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram