Lelaki terkejut kain putih di tengah jalan di Keningau rupanya ada bayi baru lahir


  • 112
  • Sabtu, 24 Sep 2022

Lokasi seorang bayi perempuan ditemukan di Jalan Kampung Korikot, Tambunan, pada awal pagi Sabtu. — Sinar Harian

SEORANG lelaki menemukan bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan berbalut dengan kain di tengah jalan raya, pada awal pagi Sabtu.

Bayi perempuan tersebut ditemui ketika lelaki itu yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Jalan Kampung Korikot Tambunan, Keningau, Sabah kira-kira pukul 1 pagi.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Nor Rafidah Kasim berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pengadu iaitu seorang lelaki berusia 40-an.

"Pengadu memaklumkan, ketika itu dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya dan terdapat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan kurang dari 24 jam ditemui di atas jalan raya.

"Pengadu terkejut dan terus mengangkat bayi cukup sifat itu masuk ke dalam kereta serta membawanya ke Hospital Tambunan untuk pemeriksaan sekali gus rawatan lanjut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Kata Nor Rafidah, bayi itu kini dalam keadaan stabil dan sudah mendapat rawatan.

Tambah beliau, kes masih disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes terbabit diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Damsa Dahlan di talian 016-4486747. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram