SEORANG lelaki membakar lengannya di gelanggang semasa kejohanan tenis berlangsung di London, England kerana membantah penggunaan jet peribadi di Britain, lapor saluran berita NBC News pada Jumaat.
Tindakan lelaki itu bagi memprotes penggunaan jet peribadi dalam kalangan pemain tenis terkemuka dunia seperti Roger Federer dan Novak Djokovic.
Ketika kejadian, Stefanos Tsitsipas dari Greece sedang berdepan pemain Argentina, Diego Schwartzman pada perlawanan Piala Laver di Arena O2 apabila lelaki tidak dikenali yang memakai baju-T bertulis ‘End UK Private Jets’ itu tiba-tiba berlari ke tengah gelanggang dengan api membakar lengannya.
Lelaki itu kemudian dibawa keluar dari gelanggang oleh tiga pengawal keselamatan sebelum permainan yang sedang berlangung itu bersambung semula.
“Pihak keselamatan segera bertindak membawa lelaki itu keluar gelanggang,” kata seorang pegawai Piala Laver.
Pegawai itu seterusnya memaklumkan bahawa lelaki itu ditangkap.
Perlawanan yang berlangsung ketika insiden itu memihak kepada Tsitsipas dengan skor 6-2, 6-1, memberikan Pasukan Eropah kelebihan 2-0.
Pemain Switzerland, Roger Federer sepatutnya menggunakan gelanggang itu pada sebelah petang untuk perlawanan terakhir dalam kariernya.
Pemain berusia 41 tahun itu bergandingan dengan Rafael Nadal dari Sepanyol untuk menentang gandingan Amerika Syarikat, Jack Sock dan Frances Tiafoe. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram