Azeez Rahim lepas tanpa bebas 9 tuduhan rasuah, pengubahan wang haram


Abdul Azeez lepas tanpa bebas tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram. — Bernama

MAHKAMAH Sesyen Kuala Lumpur melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim daripada tiga pertuduhan rasuah dan enam pertuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah pada Jumaat.

Keputusan dibuat oleh Hakim Azura Alwi selepas Timbalan Pendakwa Raya Aslinda Ahad memohon agar Ahli Parlimen itu dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah dengan alasan representasi yang dikemukakan tertuduh sudah dipertimbangkan oleh pihak pendakwaan dan memerlukan siasatan lanjut.

"Mahkamah berpendapat setiap kes perlu dibezakan berdasarkan fakta dan isu utama adalah kuasa budi bicara di bawah Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah sama ada perintah DNAA atau DNA patut diberikan terhadap tertuduh.

"Dalam menjalankan kuasa itu mahkamah perlu mengimbangkan kepentingan awam dan hak tertuduh sendiri sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembangan Persekutuan.

"Mahkamah membuat perintah DNAA di bawah Seksyen 254 (3) Kanun Tatacara Jenayah selepas

berpuas hati alasan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan kukuh dan memuaskan. Oleh itu mahkamah memerintahkan supaya tertuduh dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan-pertuduhan itu," katanya semasa sebutan kes itu.

Abdul Azeez, 55, didakwa atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta dan enam pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM972,414.60 berhubung projek jalan raya di Perak serta Kedah. Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di lima bank di ibu negara antara 6 September 2010 hingga 10 April 2018. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram