'Jangan samakan situasi musim tengkujuh PRU 1999 dengan sekarang'


  • Politik
  • Khamis, 22 Sep 2022

Negara berdepan banjir besar pada hujung tahun lalu dan dijangka berulang kembali tahun ini. — Gambar hiasan

KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) sama ada diadakan pada tahun ini atau tidak masih lagi menjadi tanda tanya.

Bukan itu sahaja, perdebatan antara dua pendapat yang mahu PRU15 diadakan tahun ini dan sebaliknya juga masih menjadi perhatian sehingga kini.

Antara alasan yang kuat digunakan untuk tidak mengadakan pilihan raya pada tahun ini adalah disebabkan musim tengkujuh dan risiko banjir melanda negara.

Namun, mengikut rekod, PRU10 sebelum ini yang diadakan pada 1999 juga berlaku dalam situasi musim hujan.

Ketika itu, Parlimen dibubarkan pada Oktober dan hari mengundi pada November. Hujan turun di bahagian Pantai Timur negara tetapi tiada pusat mengundi yang dinaiki air.

Situasi 1999 dan 2022 berbeza

Pakar Sejarah Negara, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, situasi banjir pada tahun 1999 dan 2022 tidak boleh menjadi kayu ukur kelancaran proses mengundi.

"Ketika itu memang musim tengkujuh dan banjir berlaku di kawasan Pantai Timur sahaja.

"Tetapi sekarang bukan hanya di sana, malah kawasan Lembah Klang dan Selatan tanah air juga sudah mula berdepan situasi banjir dan ini akan memberi kesan buat pengundi," katanya kepada Majoriti.

Jelasnya, mungkin proses pengundian secara asas ketika musim hujan sudah ada sebelum ini tetapi untuk tahun ini, perlu penelitian yang lebih.

Ujarnya, kerjasama dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) amat penting untuk melancarkan proses pengundian dilakukan.

"Tapi kalau ditanya, memang ada keperluan untuk mengadakan PRU15 pada tahun ini kerana kerajaan yang ada sekarang tidak stabil.

"Bila kerajaan tidak stabil, bagaimana kita nak memulihkan ekonomi negara. Sekarang ini ahli politik hanya membeli masa untuk mengukuhkan kedudukan mereka," katanya.

Krisis politik yang berbeza

Sementara itu, seorang lagi pakar sejarah, Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong pula berkata, situasi dan keperluan untuk mengadakan PRU15 juga berbeza dengan PRU10.

"Pada 1999, politik negara sedang bergelut dengan gerakan reformasi yang akhirnya membawa kepada adanya PRU10 diadakan ketika musim hujan.

"Situasi ketika itu sangat mendesak untuk mengadakan PRU. Akhirnya, parti yang memerintah negara menang selepas mendapat undian daripada golongan bukan Melayu," katanya.

Namun kata Kok Seong, sambutan untuk turun mengundi ketika itu sangat baik daripada rakyat walaupun negara berdepan musim hujan ketika itu.

Jelasnya, berbeza dengan sekarang, negara juga mengalami krisis politik yang memerlukan pilihan raya untuk menubuhkan sebuah kerajaan yang stabil.

Tetapi, keperluan untuk mengadakan PRU ketika musim tengkujuh atau dianjak ke tahun depan itu perlu dinilai dengan teliti berdasarkan keperluan yang ada sekarang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram