BEBERAPA isu pendidikan dilihat belum diselesaikan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin.
Perkara itu dibangkitkan Pensyarah Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad selepas menonton Wadah Aspirasi Menteri Kanan Pendidikan yang disiarkan secara langsung di media sosial pada Rabu pagi.
"Ada beberapa tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dilihat kurang sesuai dan menimbulkan lebih banyak isu berbanding penyelesaian. Misalnya pemansuhan UPSR dan SPM secara tergesa-gesa (sepatutnya difasakan) telah menimbulkan banyak kekeliruan pada guru dan masyarakat khususnya ibu bapa.
"Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) untuk tujuan peperiksaan dengan PdP untuk pentaksiran berterusan memerlukan pendekatan yang berbeza. Ramai guru yang keliru dan belum mahir dengan perubahan pendekatan pengajaran untuk melengkap amalan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sepenuhnya," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Dr. Anuar Ahmad mengakui ada isu pendidikan yang belum diselesikan KPM.
Perkara itu katanya, membuatkan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dilihat banyak menganggu fokus pembelajaran murid-murid dan ibubapa hilang kawalan dalam meningkatkan motivasi pembelajaran anak-anak mereka.
Jelasnya, guru juga belum bersedia untuk PBD sepenuhnya dengan bilangan murid yang terlalu ramai dalam kelas, sukatan pelajaran yang banyak dan padat serta tiada autonomi dalam melakukan pentaksiran.
Tambahnya, pemansuhan UPSR dan PT3 secara tergesa-gesa dan pelaksanaan PBD yang kurang mantap telah menjadi isu besar kepada sistem pendidikan negara kita.
Bebas tugas guru melampau
Menurut Dr. Anuar, isu beban tugas guru (bukan pengajaran) yang melampau juga tidak selesai.
"Walaupun guru di seluruh negara telah menyuarakan isu beban tugas bukan pengajaran telah menganggu fokus pengajaran mereka setiap hari, tiada usaha untuk menyelesaikan isu ini.
"Paling akhir, adalah satu tinjauan secara dalam talian yang telah dilakukan. Kemudian senyap," katanya.
Penyediaan lokar bukan penyelesaian jangka panjang untuk masalah beg berat dalam kalangan murid.
Beg sekolah berat
Selain itu katanya, isu beg berat juga masih menjadi belum selesai walaupun penyelesaian jangka pendek sudah dilakukan iaitu dengan menyediakan lokar di sekolah.
"Isu sebenar beg sekolah berat ialah bilangan mata pelajaran yang banyak dan kandungan yang terlalu padat untuk murid-murid tahap satu sekolah rendah," katanya.
Sekolah daif dan kurang murid
Dr. Anuar berkata, bilangan sekolah daif dan mempunyai murid yang kurang dilihat makin bertambah saban tahun.
"Perlu ada tindakan khusus untuk isu sekolah daif dan sekolah kurang murid. Usaha awal dengan menubuhkan jawatankuasa sekolah kurang murid telah dilakukan.
"Tapi ini bukanlah kali pertama. Sejak dulu lagi telah ada usaha," katanya.
Desentralisasi pendidikan
Menurut Dr. Anuar, ada beberapa lagi masalah yang masih belum diselesaikan termasuklah kemerosotan penguasaan murid-murid dalam membaca, menulis dan mengira (3M).
"Tiada data terkini tentang penguasaan 3M untuk dikongsikan dengan masyarakat.
"Malah isu utama iaitu melakukan desentralisasi pendidikan juga langsung tidak disentuh sedangkan di peringkat global, amalan desentralisasi dengan memberikan kepercayaan kepada sekolah dan guru-guru telah terbukti berjaya meningkatkan keupayaan sistem pendidikan," katanya.
Bagi Dr. Anuar, Wadah Aspirasi YB Menteri Kanan kali ini lebih kepada perkongsian kejayaan lepas dan tidak mempunyai sentuhan idea mengenai hala tuju yang kukuh untuk sistem pendidikan negara. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram