KEBENARAN pegawai kerajaan kementerian atau jabatan menggunakan kad kredit korporat untuk pembayaran dalam talian bagi perjalanan tugas rasmi didakwa sebagai cubaan untuk mengetepikan fungsi agensi pelancongan.
Perkara itu diluahkan oleh Presiden Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (Bumitra), Harun Kc Ahmmu yang melihat situasi tersebut secara tidak langsung menjejaskan perniagaan agensi pelancongan yang selama ini bertanggungjawab menguruskan tempahan perjalanan dan penginapan pegawai kerajaan.
Katanya, meskipun masih ada kementerian yang menggunakan khidmat agensi, namun tindakan tersebut akan memberi kesan jangka masa panjang terhadap pertumbuhan ekonomi sekali gus menjejaskan sektor pekerjaan.
“Kerajaan seharusnya memberi peluang kepada agensi meneruskan urus niaga yang sebelum ini pernah dibuat dan mempertimbangkan semula tindakan itu. Sudahlah agensi pelancongan paling terkesan ketika pandemik Covid-19 melanda dan sekarang baru bernafas semula.
“Mohon agar semakan semula dilakukan kerana sekiranya perkara ini berteruskan, bimbang nasib agensi yang majoriti dimiliki oleh golongan bumiputera terjejas. Jika syarikat gagal mendapat keuntungan maka ramai individu yang akan kehilangan kerja,” katanya kepada Majoriti.
Segala urusan pembelian penginapan akan dilakukan terus secara dalam talian tanpa penggunakan khidmat agensi pelancongan.
Harun memberi reaksi terbabit bagi mengulas pekeliling pada 5 Ogos lalu yang dikeluarkan Perbendaharaan Malaysia berkaitan kad kredit korporat kerajaan.
Pekeliling itu turut mengatakan, Kementerian Kewangan bersetuju untuk membenarkan penggunaan kad kredit korporat di kementerian atau jabatan sebagai satu langkah penjimatan serta kaedah alternatif untuk memudahkan pembayaran.
Segala pembayaran akan dibuat secara dalam talian dengan terus kepada syarikat pengangkutan dan penginapan.
“Tidak dinafikan langkah itu dapat menjimatkan perbelanjaan, tetapi tugas kerajaan juga untuk membantu pertumbuhan ekonomi. Bulan ke bulan, tahun ke tahun sekiranya masih berterusan maka akan banyak agensi pelancongan yang akan tutup.
Agensi pelancongan mengharapkan agar kerajaan tidak terus melaksanakan penggunaan kad kredit korporat kerana bimbang akan menjejaskan pemain yang ingin 'bernafas' semula selepas pandemik Covid-19.
“Sekiranya pembelian dilakukan melalui agensi, kerajaan akan menerima bayaran cukai dan ini secara tidak langsung menjana pendapatan negara,” jelasnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Nusantara Discovery Sdn Bhd, Mohd Ali Ab Malek berkata, langkah yang dilaksanakan kerajaan itu seperti usaha untuk menghapuskan hak bumiputera.
Jelas pengusaha agensi pelancongan itu, jika pegawai kerajaan melakukan pembayaran secara dalam talian terus kepada syarikat penerbangan, pelancongan atau aplikasi digital, situasi tersebut akan menjejaskan pihak agensi pelancongan.
“Kami juga ingin cari makan dan ada pekerja yang perlu digaji. Mengharapkan sektor pelancongan domestik itu mustahil kerana kebanyakan mereka melakukannya sendiri.
“Beberapa negara masih tidak benarkan pintu sempadan dibuka dan ini mengehadkan jumlah pelancong antarabangsa menggunakan perkhidmatan agensi pelancongan,” ujarnya.
Dalam pada itu, Mohd Ali bertegas meminta kerajaan membenarkan segala urusan perjalanan melibatkan pengangkutan dan penginapan dilakukan dengan agensi pelancongan berdaftar dengan Kementerian Kewangan Malaysia bertaraf bumiputera. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram