Awas! Pembuli ada di mana-mana


  • Massa
  • Khamis, 22 Sep 2022

Buli siber merupakan kesinambungan surat layang yang pernah berleluasa dalam kalangan masyarakat sedikit masa lalu. — Gambar hiasan/Agensi

PERTAMA kali penulis mendengar tentang istilah tabayyun adalah ketika dilantik sebagai penyelaras bagi menyiasat surat-surat layang yang diterima di sebuah institusi dan juga aduan daripada para pengadu yang walk in di pejabat majikan.

Pada mulanya, penulis mempersoalkan mengapa perlunya melayan surat-surat layang dan para pengadu yang gemar mengadu domba? Setelah dijelaskan oleh majikan tentang konsep tabayyun, barulah penulis bersetuju menyandang jawatan tersebut.

Penulis seterusnya dihantar berkursus sebanyak dua siri dan dilatih menyiasat kes dan menulis laporan oleh pihak berkuasa kerajaan. Setelah ditauliahkan, maka bermulalah tugas penyiasatan pelbagai kes berdasarkan surat layang yang diterima dan para pengadu yang “berkunjung” ke bilik majikan untuk mengadu.

Namun, yang menariknya, selama enam tahun penulis menjalankan kerja-kerja penyiasatan, 95% daripada surat layang yang diterima atau aduan daripada si pengadu domba gagal dibuktikan kebenarannya dan lebih bersifat fitnah kerana telah ditokok tambah.

Paling menariknya, pada suatu masa, penulis sendiri dan majikan pada ketika itu telah menjadi mangsa pengadu domba dan surat layang. Walaupun melibatkan penulis sendiri dan majikan, siasatan diteruskan oleh pihak atasan institusi.

Pihak atasan institusi telah menyoal siasat penulis dan majikan dengan pelbagai soalan peribadi dan yang berkaitan tugas hakiki. Penulis menjawab semua soalan dengan jujur dan berasa lega sebab panel penyiasat tidak percaya seratus peratus fitnah yang ditaburkan oleh si pengadu domba. Majikan yang menjadi mangsa surat layang juga turut disoal siasat sehingga akhirnya panel penyiasat mendapati bahawa penulis dan majikan telah menjadi mangsa fitnah si pengadu domba dan surat layang semata-mata.

Pada ketika itu, penulis berfikir jika tiada penyiasatan dijalankan dan tidak disoal siasat, tentulah penulis akan menjadi mangsa fitnah. Mungkin juga penulis akan dilucutkan jawatan malah ada kemungkinan dipindahkan ke cawangan lain!

Pengadu domba a.k.a pemfitnah tentu tersenyum lebar kerana misi mereka telah tercapai. Mereka mungkin akan melebarkan lagi sayap dengan meneruskan aktiviti mengadu domba secara berleluasa. Malah, perbuatan mereka akan turut mempengaruhi staf junior yang akhirnya memberi kesan negatif kepada individu yang diadu.

Perkara sebegini tentulah akan menimbulkan suasana yang tidak harmoni di tempat kerja. Namun, penulis berasa lega kerana pihak institusi pada ketika itu mempunyai panel untuk mengendalikan surat layang dan aduan daripada si pengadu domba. Proses penyiasatan terhadap surat layang dan aduan yang diterima ini mempunyai ciri-ciri tabayyun.

Sehubungan dengan itu, tabayyun merupakan salah satu ajaran Islam yang telah diperkenalkan sejak zaman Nabi Muhammad SAW. Dengan perkataan lain, tabayyun membawa pengertian sebagai menyiasat sesuatu berita yang disampaikan.

Tabayyun terhadap suatu berita yang didengar mahupun dibaca mempunyai kesan yang sangat besar terhadap masyarakat. Pengaruh berita ini dapat mempengaruhi pendapat masyarakat terhadap sesuatu sama ada menjadi baik atau buruk. Dalam Islam, kita tidak boleh sembarangan menerima dan menyebarkan suatu berita terutama yang tidak pasti. Hal ini bertepatan dengan firman ALLAH SWT dalam surah Al-Hujurat 49: 6:

"Wahai orang-orang yang beriman, jika seseorang yang fasik datang kepadamu membawa suatu berita, maka telitilah kebenarannya, agar kamu tidak mencelakakan suatu kaum kerana kebodohan (kecerobohan), yang akhirnya kamu menyesali perbuatanmu itu."

Konsep tabayyun menuntut umat Islam menyiasat berita sama ada sahih atau tidak sebelum menyebarkannya kepada orang lain. — Gambar hiasan/Agensi

Pada masa kini, bukan sahaja si pengadu domba atau surat layang yang perlu dikhuatirkan malah media sosial juga perlu digunakan secara berhati-hati. Kerap kali berlaku media sosial turut digunakan untuk menyampaikan berita yang tidak benar. Pada kebiasaannya, pihak pertama yang menerima maklumat biasanya akan berkongsi berita tanpa melakukan tabayyun atau menyemak kebenarannya.

Maka berlakulah situasi yang mana sesuatu berita tersebar dengan pantas daripada satu kumpulan WhatsApp ke kumpulan WhatsApp atau media sosial yang lain. Jika maklumat yang disebarkan itu adalah benar, sudah tentu tidak mengapa tetapi masalah sebaliknya berlaku jika maklumat tersebut tidak benar atau telah ditokok tambah. Maka di sinilah peranan tabayyun amat penting sebagai medium pemantauan berita atau peristiwa sebelum disebarkan.

Konsep tabayyun memerlukan individu lebih berhati-hati dalam membuat kesimpulan atau pengesahan terhadap sesuatu maklumat yang diterima berdasarkan ajaran Islam. Perkara ini termasuklah mengesahkan watak dan kredibiliti si pembawa maklumat. Perkara ini selari dengan pengertian tabayyun seperti yang dikemukakan dalam al-Quran, iaitu bergantung kepada watak pembawa maklumat. Pembawa maklumat perlu menjadi individu yang boleh dipercayai untuk penerimaan maklumat berkenaan.

Walau bagaimanapun, si pembawa maklumat juga manusia dan sudah tentu ada kekurangannya kerana mungkin terpengaruh dengan orang lain atau mempunyai perasaan cemburu. Oleh yang demikian, sebaiknya, tabayyun diaplikasikan dengan menyelidik dan mengkaji setiap maklumat yang diterima dengan memastikan sumbernya sah. Secara tidak langsung, amalan tabayyun akan membantu dalam mendapatkan maklumat yang lebih tepat sambil mengelak salah faham serta fitnah. Oleh yang demikian, amalan tabayyun juga dapat membantu mengekalkan kestabilan dan keharmonian bukan sahaja di tempat kerja malah dalam kalangan masyarakat dan negara.

Sebenarnya pelbagai masalah akan timbul akibat menuduh seseorang melakukan sesuatu perkara yang sebenarnya tidak dilakukannya. Seperti satu kejadian yang menimpa Aisyah r.a yang dituduh menjalinkan hubungan sulit dengan seorang lelaki bernama Shofwan bin Muathal oleh Abdullah bin Ubai bin Salul, raja munafiqin Madinah.

Walaupun tuduhan ini tidak benar, namun, Abdullah bin Ubai bin Salul tidak putus-putus menyebarkan pembohongan itu sehingga beberapa penduduk Madinah yang tanpa tabayyun turut percaya dan menyebarkan berita palsu tersebut. Perkara ini telah menyebabkan Aisyah begitu terkesan dan tertekan sehingga ALLAH SWT menurunkan ayat yang menyucikan Aisyah daripada segala tuduhan keji tersebut. Perkara ini dinyatakan dalam surah An-Nur ayat 11, iaitu:

"Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan berita itu adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seorang daripada mereka akan mendapat balasan akibat dosa yang dikerjakannya. Dan siapa antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar."

Maka, dapat disimpulkan bahawa, tabayyun amat penting diamalkan dalam kehidupan seharian. Walau siapapun kita, jangan sesekali menuduh seseorang sesuka hati dan jangan sesekali mempercayai berita yang disampaikan tanpa mengesahkan kebenaran maklumat itu. Fitnah pada akhir zaman ini ada di mana-mana sama ada di pejabat, keluarga, komunti, masyarakat, negara hatta di hujung jari dengan berkembangnya media sosial dalam era digitalisasi ini.

Oleh itu, marilah kita sama-sama berdoa agar terhindar daripada difitnah atau menjadi penyebar fitnah. Kita sepatutnya memfokuskan untuk meningkatkan produktiviti bukannya menambah kontroversi atau mencari publisiti! Wallahualam. — Majoriti

Profesor Madya Dr. Faridah Nazir, Pensyarah Kanan di Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Hub Pendidikan Pagoh, Muar, Johor

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti*

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram