BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak disahkan sedang menjalani rawatan di Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC).
Jabatan Penjara Malaysia dalam satu kenyataan berkata, Najib dihantar ke sana untuk mendapat rawatan susulan dan pemantauan selepas dirujuk oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Isnin lalu.
"Dia akan dihantar semula ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman sebaik sahaja pakar perubatan melepaskannya," katanya pada Rabu.
Menurutnya, tindakan itu juga dibuat perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 12 September lalu bahawa Najib memerlukan pemeriksaan kesihatan selepas dimaklumkan bahawa dia sakit.
"Selaras dengan Seksyen 37 Akta Penjara dan peruntukannya serta Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Rawatan Banduan (Peraturan Mandela), Jabatan Penjara menghantar Najib ke HKL untuk rawatan pakar di sana," katanya.
Untuk rekod, Najib sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos untuk mengekalkan sabitan rasuah membabitkan RM42 juta dana SRC International.
Mahkamah juga mengekalkan denda RM210 juta yang dikenakan ke atasnya.
Perbicaraan Najib atas tuduhan rasuah berkaitan 1Malaysia Development Bhd telah ditangguhkan selama seminggu berikutan keadaan kesihatannya.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu Hakim, Collin Lawrence Sequerah di Mahkamah Tinggi pada 14 September bahawa Najib sedang menjalani ujian perubatan setiap hari kerana tekanan darah dan ulser perutnya.
Perbicaraan dijadualkan disambung semula pada 26 September depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram