Sebulan simpan rahsia, pelajar Tingkatan 2 dirogol 5 geng jahanam baru kenal tak sampai sehari di Klang


  • 112
  • Selasa, 20 Sep 2022

Suspek kejadian berkenaan berusia antara 16 hingga 21 tahun termasuk seorang penuntut sekolah menengah. — Gambar Hiasan

POLIS menahan lima pemuda termasuk seorang pelajar sekolah menengah kerana didakwa terlibat merogol seorang gadis berusia 14 tahun di Klang, Selangor.

Dalam sidang media di Balai Polis Kapar di Klang, Selangor pada Selasa, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, ibu mangsa membuat laporan pada 18 September.

“Mangsa dibawa ke rumah salah seorang suspek pada 12 Ogos lalu oleh rakannya. Dia kemudian dirogol oleh suspek, yang merupakan abang kepada rakannya bersama empat remaja lain.

“Dia hanya memberitahu ibu bapanya tentang kejadian itu selepas diketahui abangnya. Susulan laporan yang dibuat, kami menahan kelima-lima suspek pada hari yang sama di sekitar kawasan Klang dan direman dari 19 September hingga 23 September,” katanya.

Tambahnya, suspek berusia antara 16 hingga 21 tahun.

"Kesemuanya didapati negatif dadah dan tidak mempunyai sebarang kesalahan sebelum ini," katanya.

Pada Selasa, S. Vijaya dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taid merasmikan upacara pelupusan barang seludup dan kes.

Barangan yang dilupuskan adalah berkaitan dengan kertas siasatan dari 2019 hingga 2022.

Kebanyakannya adalah daripada kes perjudian dalam talian, dengan 547 mesin dan item lain dikaitkan dengan penyiasatan mengenai perjudian. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Rogol, Polis, Remaja, Vijaya Rao