Sifatkan Zahid Hamidi pemimpin angkuh, Rafizi buat pungutan suara


  • Politik
  • Ahad, 18 Sep 2022

Kenyataan Presiden Umno disifatkan Rafizi sebagai angkuh dan tidak bertimbang rasa dengan masalah rakayat.

PARTI Keadilan Rakyat (PKR) akan menjalan pungutan suara rakyat (public referendum) sebagai tindak balas kepada kenyataan angkuh Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa parti itu sanggup meredah banjir sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan pada musim tengkujuh.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, sikap angkuh pemimpin parti itu tidak sewajarnya dibiarkan tanpa ada tindak balas daripada rakyat.

Justeru menurut Rafizi, beliau sendiri akan mengusahakan pungutan suara itu bagi memberi 'pengajaran' kepada Ahmad Zahid dan Umno bahawa rakyat mencemuh parti politik yang galak berebut kuasa hingga mengabaikan persediaan menghadapi banjir.

"Kenyataan Presiden Umno, Datuk Dr Ahmad Seri Zahid Hamidi yang memperlekehkan risiko dan kesengsaraan rakyat sekiranya PRU15 dipanggil di musim tengkujuh menunjukkan terpisahnya beliau dan Umno dari realiti kehidupan rakyat.

Screenshot 2022-09-18 at 3.35.39 PM

Rafizi Ramli

"Umno seolah-olah lupa kesengsaraan yang dialami rakyat sejak sedekad yang lalu akibat bencana banjir. Dua kejadian banjir besar di Sri Muda (tahun 2021) dan Baling (tahun ini) tidak pun terkesan kepada pimpinan Umno, apatah lagi untuk menginsafkan mereka bahawa kebajikan rakyat perlu diutamakan.

"Sementara tumpuan kerajaan-kerajaan negeri adalah untuk membantu rakyat, Umno dan pimpinannya menolak ke tepi risiko banjir dalam kegilaan mereka mendesak PRU15 diadakan segera demi mencari kuasa," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Tambah bekas Ahli Parlimen Pandan itu, Kenyataan Zahid itu cukup berbeza dengan nada pimpinan Pakatan Harapan (PH) dalam temu rapat yang berakhir Khamis lalu.

Katanya, salah satu kandungan utama ketetapan yang dicapai dalam temu rapat tersebut ialah agar negeri-negeri yang ditadbir Pakatan Harapan mengusahakan langkah-langkah bersepadu menangani bencana banjir yang dijangka tiba, termasuklah mengisytiharkan 'Kecemasan Bencana Iklim' untuk mengurangkan musibah kepada rakyat.

Pada Sabtu, Ahmad Zahid dilaporkan berkata, partinya sanggup 'meredah' banjir untuk berkempen sekiranya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembubaran Parlimen pada akhir tahun ini yang sinonim dengan musim banjir.

Ahmad Zahid berkata, semua pihak sedang menunggu tarikh keramat pembubaran itu meskipun terdapat kekangan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram