Kanak-kanak lelaki maut tertusuk kaca di Banting


  • 112
  • Sabtu, 17 Sep 2022

Mangsa dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Banting dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan.

SEORANG kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun maut selepas tertusuk serpihan kaca di bahagian dada ketika bermain di rumahnya di Kampung Bukit Changgang, Banting, Selangor pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh berkata, kejadian berlaku ketika mangsa sedang bermain sendirian pada pukul 4 petang.

"Semasa kejadian berlaku, ibu bapa mangsa turut berada di dalam rumah, mereka mendakwa kanak-kanak itu melompat di atas sofa rumahnya sebelum jatuh di atas meja kaca yang berada di hadapan sofa.

"Kejadian tersebut mengakibatkan dada mangsa terkena serpihan kaca. Mangsa dikejarkan ke klinik berhampiran sebelum dibawa ke Hospital Banting dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan," menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, bedah siasat akan dilakukan bagi mengetahui punca kematian mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

polis, kanak-kanak, lelaki, maut, tertusuk kaca