Polis tahan reman wanita hempuk anak guna meja


  • 112
  • Sabtu, 17 Sep 2022

Kelihatan mangsa terbaring menangis sebelum ibunya bertindak menghempasnya dengan meja kayu.

SEORANG wanita ditahan reman selama seminggu bermula Sabtu bagi membantu siasatan selepas dipercayai mendera anak lelakinya berusia lapan tahun, pada Mac lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Polis, Mohd Rosdi Daud berkata, wanita berusia 36 tahun itu ditahan di rumahnya di Kok Lanas, Ketereh, Kelantan pada Jumaat susulan laporan polis oleh bekas suaminya pada 10 Mac lalu.

Beliau berkata, pada Mac lalu, pengadu yang juga bapa kepada kanak-kanak itu dihubungi teman lelaki bekas isterinya, memaklumkan bahawa anak lelaki pengadu (mangsa) dipukul oleh ibunya.

Difahamkan bapa mangsa menerima satu video daripada teman lelaki bekas isterinya yang memaparkan mangsa dipukul termasuk dilempar meja oleh ibu kandungnya.

Selepas membuat laporan polis namun pada tempoh yang sama pengadu cuba menyelesaikan perkara itu dengan bekas isterinya, katanya.

"Sebelum ini pengadu bersama bekas isterinya dan dua anak mereka tinggal di Tampin, Negeri Sembilan, namun selepas bercerai pada 2020, suspek dan mangsa tinggal di Kota Bharu, Kelantan manakala seorang anak perempuan mereka tinggal bersama pengadu.

"Mangsa dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) dan menerima rawatan sebagai pesakit luar dan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Rosdi berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

suspek, reman, HRPZ II, isteri, dera