MESKIPUN tidak tergolong dalam kumpulan artis, namun populariti pengurus kewangan bertauliah dan penganalisis ekonomi, Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Rasol Khan, 47, atau popular dengan panggilan (DDNK) mampu menewaskan selebriti.
Masakan tidak, berita perkahwinan beliau dengan Datin Tuan Nor Ernie Rossmeris Tuan Zahari, 25, pada Ahad lalu sehingga kini masih hangat diperkatakan.
Ada yang kata kononnya usahawan yang terkenal dengan slogan ‘Tak Handsome Takpe, Janji Kaya’ itu melangsungkan perkahwinan dengan isteri baharu tidak sampai sebulan selepas bercerai dengan bekas isteri, Hasmawatie Samsudin sekitar Ogos lalu.
Perkara itu kemudian mengundang kecaman warganet apabila Hasmawatie memberikan ucapan tahniah di samping mesej 'tersembunyi' di sosial media yang mendakwa usahawan tersebut melangsungkan perkahwinan di Thailand.
Hasmawatie turut mendakwa keserasian selama 22 tahun dan pengalaman mengharungi jatuh bangun bersama tidak mampu bertahan setelah bekas suaminya meraih kejayaan sekarang.
"Dulu elok saja dengan isteri dia sampai la dapat datuk. Tup tup cerai, tahu-tahu kahwin lagi. Kasihan isteri lama senang susah bersama.
"Bila jadi duda, tiada jodoh tidak mengapa, tetapi risau bila 'janji kaya'.
"Kelmarin tukar status duda, hari ini sudah bertukar status berkahwin, Macam magis sekelip mata berubah status. Apa pun tahniah. Moga bahagia hendaknya," kata pengguna media sosial di Instagram.
Perkahwinan DDNK dan Datin Tuan Nor Ernie Rossmeris Tuan Zahari menarik perhatian sehingga menimbulkan pertikaian.
Pandangan berbaur sindiran itu disifatkan sebagai tindakan yang diwajar dilakukan lebih-lebih lagi apabila menilai sesebuah perkahwinan berdasarkan pandangan mata kasar tanpa mengetahui keadaan sebenar.
Menurut Peguam Syarie Kuala Lumpur Tetuan Khairi Najihah & Associates, Rosmainie Rofiee, perkahwinan merupakan hal peribadi seseorang yang seharusnya tidak wajar dipertikaian oleh individu luar.
Katanya, perkahwinan melibatkan hati dan perasaan yang tidak boleh dipaksa sama ada rasa sayang atau benci.
"Segalanya kita berbalik kepada hati. Hati ini Allah yang pegang kerana sifatnya yang maha membolak balik.
"Setiap daripada kita diberi pilihan untuk memilih dan menjaga rumah tangga dengan baik.
"Jika pasangan itu sudah membuat keputusan untuk berpisah, tidak ada siapa yang boleh menghalang kerana itu sudah menjadi ketentuan takdir," katanya kepada Majoriti.
Sebahagian komen warganet terhadap perkahwinan Mohd Nazri bersama isteri barunya, Tuan Nor Ernie Rossmeris Tuan Zahari
Pada masa sama, Rosmainie turut berpendapat kebahagiaan rumah tangga itu juga merupakan sebahagian daripada ujian Allah kepada hambaNya.
"Kita sering melihat kepayahan dan kesukaran itu sebagai ujian Tuhan, tetapi sebenarnya waktu bahagia juga merupakan sebahagian daripada dugaan Allah buat kita.
"Mungkin hari ini kita akan cakap pasangan kita sempurna, namun pada masa akan datang, tiada siapa akan tahu," jelasnya.
Pasangan itu dipercayai mula berkenalan sejak setahun lalu dan melangsungkan perkahwinan di sebuah hotel di ibu kota dengan tema Beauty and The Beast serta dianggarkan menelan belanja sekitar RM500,000 — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram