Doktor gigi palsu di Kuantan diserbu JKNP


  • 112
  • Khamis, 15 Sep 2022

Suspek menawarkan pemasangan pendakap gigi dengan harga antara RM100 hingga RM200. — Gambar Hiasan

KEGIATAN seorang wanita berusia 20-an yang menawarkan perhidmatan rawatan gigi secara haram terbongkar apabila serbuan ke atas sebuah rumah di Kempadang,Kuantan, Pahang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP) pada Rabu.

Tangkapan itu dibuat setelah pihak JKNP menerima aduan awam berkenaan pengamal pergigian haram atau doktor gigi palsu yang menjalankan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi di sekitar daerah tersebut.

Pengarah Kesihatan Pahang, Datuk Dr Nor Azimi Yunus berkata, wanita berkenaan dipercayai mempromosikan perkhidmatan pemasangan pendakap gigi itu melalui aplikasi Whatsapp sejak tahun 2020 dan menjalankan operasi tersebut di rumahnya.

"Berdasarkan maklumat, harga bagi khidmat pemasangan pendakap gigi yang ditawarkan antara RM100 hingga RM200.

"Selain pemasangan pendakap gigi, wanita itu juga didapati turut mempromosikan rawatan pemutihan gigi melalui Instagram," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Dr Nor Azimi berkata, susulan maklumat itu, serbuan telah dilakukan pegawai dari Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) dan Unit Penguatkuasaan Pergigian JKNP kira-kira pukul 9 malam dan mendapati wanita terbabit sedang menjalankan amalan pergigian ke atas seorang pelanggan.

"Pasukan serbuan turut menemui dan merampas peralatan pergigian yang disyaki digunakan dalam menjalankan rawatan pergigian secara haram.

"Jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali," jelasnya.

Dalam pada itu, Dr Nor Azimi menasihatkan orang ramai mendapatkan rawatan pergigian atau perubatan di klinik berdaftar sama ada kerajaan atau swasta.

"Kesahihan pengamal pergigian berdaftar boleh disemak melalui laman sesawang www.dpims.moh.gov.my dan semakan untuk klinik pergigian atau klinik perubatan yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) http://www.dpims.moh.gov.my boleh dibuat di laman sesawang www.medicalprac.moh.gov.my," ujarnya.

Beliau berkata, kerjasama orang ramai dalam memboikot kegiatan amalan pergigian haram itu dapat membantu KKM membanteras kegiatan tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram