Hati-hati, kedai peralatan rumah dikesan jual jajan ada gelatin babi — Aktivis 


  • Massa
  • Khamis, 15 Sep 2022

Pemeriksaan dan tindakan tegas kepada pemilik premis yang menjual makanan mengandungi gelatin babi tanpa menerangkan di label.

PEMANTAUAN dan pemeriksaan ke setiap premis perlu dilakukan bagi membandung masalah kehadiran produk makanan yang mengandungi gelatin babi dalam pasaran.

Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V Subbarow berkata, jika dibiarkan berlarutan, tentunya ia akan memberi kesan kepada pembeli beragama Islam.

"Kebanyakan produk makanan seperti gula-gula dari negara Thailand, China dan Taiwan banyak mengandungi gelatin babi.

"Kami juga ada membuat pemeriksaan ke premis tertentu dan mendapati penjualan secara terbuka di rak tanpa label atau sebarang kenyataan yang mengatakan makanan tersebut tidak boleh dimakan oleh sesetengah bangsa," katanya kepada Majoriti.

Dalam pada itu, N.V Subbarow turut memaklumkan bahawa hampir 30 peratus makanan ringan dan jajan yang dijual di kedai peralatan rumah di seluruh negara mengandungi gelatin babi.

medium-shot-woman-reading-label-shop

Ibu bapa perlu melakukan periksaan terhadap kandungan bahan di label makanan.

"Saya tertanya-tanya bagaimana produk sebegini boleh berada dalam pasaran sedangkan penjelasan terhadap kandungan perlu dilakukan terlebih dahulu.

"Agensi kerajaan perlu serius menangani perkara ini kerana ia melibatkan makanan yang menjadi darah daging dalam tubuh kita.

"Di kedai menjual makanan ringan untuk kanak-kanak juga banyak menjual gula-gula mengandungi gelatin babi," jelasnya.

Dalam pada itu Subbarow turut mengesa ibu bapa supaya peka dan mengetahui akan kod makanan bagi mengelakkan salah faham.

"Kanak-kanak memang tidak akan mengambil kira hal ini, tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan. Semak senarai kandungan makanan setiap kali hendak membeli.

"Bukan sahaja melibatkan anak-anak, namun makanan seisi keluarga juga perlu bagi menjaga kelestarian institusi agama masing-masing," terangnya.

Untuk rekod, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melaporkan sebahagian kod seperti E100, E110, E120, E 140, E141, E153, E210, E213, E214, E216 dan E234 sebagai lemak babi.

Bagaimanapun Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan tidak semua kandungan makanan dengan kod E mengandungi gelatin haram kerana E ialah kod untuk bahan tambah (aditif) yang selalu digunakan pada label makanan di negara Kesatuan Eropah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram