BEKAS Presiden MIC dan menteri kabinet, Tun S Samy Vellu meninggal dunia pada usia 86 tahun.
Perkara itu diumumkan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, yang juga bekas presiden MIC, dalam hantaran Facebook, Khamis.
“Dengan rasa sedih dan pilu, saya menerima berita tragis pemergian Tun Samy Vellu, mantan presiden MIC dan menteri legenda dalam kabinet Malaysia daripada anaknya Datuk Seri Velpari.
"Bagi kebanyakan kami, dia adalah mentor utama. Sumbangan beliau kepada negara dan masyarakat India akan kekal dalam ingatan kami," kata Subramaniam.
Samy Vellu meninggal dunia di kediamannya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 7 pagi, Khamis ketika sedang tidur.
Untuk rekod, Samy Vellu merupakan ahli Parlimen Sungai Siput dari 1974 hingga 2008 dan berkhidmat sebagai Menteri Kerja Raya dari 1983 hingga 1989 dan sekali lagi dari 1995 hingga 2008.
Beliau adalah presiden MIC paling lama berkhidmat selepas memegang jawatan itu selama 31 tahun dari 1979.
Beliau juga merupakan salah seorang menteri paling lama berkhidmat, telah berada dalam Kabinet selama 29 tahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram