OBB hilang dari tempat kerja di Kota Bharu, polis minta orang awam tampil bantu siasatan


  • 112
  • Selasa, 13 Sep 2022

OBB yang dicari pihak berkuasa setelah didapati hilang di tempat kerjanya sejak Isnin. — Facebook

PENGARAH Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob berkata, pihaknya sedang mencari Orang Bebas Berlesen (OBB) selepas dipercayai menghilangkan diri daripada tempat kerjanya di Padang Tembak, Kota Bharu, Kelantan, sejak Isnin.

Jelas Mat Yaacob, lelaki berusia 37 tahun itu disedari hilang oleh majikannya selepas mendapati OBB itu tidak ada di premis terbabit.

“OBB itu baharu dibebaskan dari Pusat Koreksional Machang sebulan lalu dan bekerja di premis terbabit ketika dalam tempoh pengawasan di bawah Program Pemulihan Dalam Komuniti.

“Dia menjalani hukuman penjara selama 10 bulan atas kesalahan dadah dan bakal dibebaskan sepenuhnya tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita pada Selasa.

Beliau berkata, usaha menjejakinya giat dijalankan dan jika gagal dalam tempoh 48 jam, laporan polis berkaitan kehilangan OBB terbabit akan dibuat.

“Kami meminta kerjasama orang ramai agar menghubungi pihak parol atau Perkhidmatan Komuniti Kota Bharu sekiranya mempunyai maklumat mengenai OBB ini,” jelas beliau.

Sejak Isnin, tular gambar dan maklumat dikaitkan dengan seorang banduan yang didakwa melarikan diri di kawasan Pengkalan Chepa, Kota Bharu, Kelantan. — Sinar Harian

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram