Selepas dakwaan serangan seksual, bapa direman pukul Puteri Balqis guna 'hanger' baju


  • 112
  • Selasa, 13 Sep 2022

Pendedahan Puteri Balqis tular di media sosial sebelum menarik perhatian ramai pihak.

BAPA kepada pelakon remaja perempuan, Puteri Balqis Azizi yang sebelum ini didakwa membabitkan kes serangan seksual, direman sekali lagi bagi membantu siasatan memukul anaknya itu menggunakan penyangkut baju pada Selasa.

Ketua Polis Selangor Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, tempoh reman empat hari terhadap suspek berusia 43 tahun itu diperoleh selepas permohonan dilakukan di Mahkamah Majistret di Shah Alam, pagi hari sama.

"Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 31 (1) (A) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya pada pemberita selepas program Townhall Polis Selangor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Pada Isnin, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim memaklumkan lelaki tersebut yang ditahan minggu lepas, dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam susulan laporan dibuat mangsa pada 8 September lepas yang mendakwa dipukul menggunakan penyangkut baju pada 2014.

Sebelum ini, bapa kandung kepada pelakon remaja perempuan itu ditahan polis pada pukul 2.25 petang 6 September lalu di Kedah susulan laporan polis dibuat anaknya itu membabitkan kes serangan seksual, pengabaian dan memiliki bahan lucah.

Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata pihaknya berjaya menahan tiga lelaki yang disyaki menyamun dan mencuri kenderaan mewah di sebuah rumah di Pulau Indah, Klang dekat sini kurang daripada 24 jam selepas kejadian tersebut semalam.

Katanya kesemua suspek berusia 30 hingga 40 tahun itu ditahan pada pukul 8.30 malam di sekitar Damansara selepas melakukan perbuatan berkenaan pada pukul 10.15 pagi hari sama.

"Siasatan awal mendapati kejadian curi kereta itu bermula di Klang sebelum penangkapan dilakukan di sekitar Damansara. Semakan yang dilakukan menunjukkan mereka ini mempunyai banyak rekod jenayah," katanya.

Terdahulu, tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi satu minit 14 saat yang memaparkan tiga lelaki keluar dari sebuah rumah sebelum menaiki sebuah kereta sedan serta memandu keluar sebuah kereta mewah berwarna putih dari kawasan perumahan. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram