Lori pasir brek rosak rempuh 3 kenderaan di Lebuh Raya Persekutuan


  • 112
  • Selasa, 13 Sep 2022

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ). — Sinar Harian

SEBANYAK tiga buah kereta mengalami kerosakan teruk apabila kenderaan yang mereka naiki dirempuh sebuah lori pasir yang hilang kawalan di Lebuh Raya Persekutuan, Petaling Jaya, Selangor pada Isnin.

Dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari, lori membawa pasir itu dipercayai mengalami masalah brek apabila tiba di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu sekitar pukul 3 petang.

"Kemalangan melibatkan sebuah lori dan tiga buah kereta di Lebuh Raya Persekutuan pada jam lebih kurang 1.30 petang.

"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila lori yang dipandu seorang lelaki mengalami masalah brek gagal berfungsi menyebabkan lori terbabit hilang kawalan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Fakhrudin berkata, lori terbabit melanggar tiga buah kenderaan yang berada di laluan kiri arah sama lebuh raya berkenaan.

"Semua mangsa yang terlibat berada dalam keadaan selamat," katanya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ).

"Kepada sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian mohon tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Hafeez Faesal di talian 011-32311232," ujar beliau. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram