Sewa rumah naik punca 2 lelaki di Pasir Mas bergaduh


  • 112
  • Selasa, 13 Sep 2022

Tiada sebarang kecederaan serius dialami oleh kedua-dua belah pihak yang terlibat dalam insiden yang berlaku pada Ahad itu.

POLIS mengesahkan bahawa insiden pergaduhan yang tular di laman sosial Facebook pada Isnin didakwa berpunca daripada pertikaian kenaikan sewa rumah antara pihak penyewa dan pemilik.

Video tular yang dimuat naik oleh sebuah halaman Facebook, Kelab Info Malaysia menunjukkan kejadian yang berlaku di Pasir Mas, Kelantan.

Rakaman pergaduhan itu.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, maklumat tersebut hasil siasatan lanjut yang dilakukan ke atas individu terlibat.

"Penyewa telah berjanji untuk menyerahkan kunci rumah pada hari kejadian, namun gagal berbuat demikian menyebabkan berlaku pertikaian dan pergelutan antara kedua-dua belah pihak.

"Kedua-dua belah pihak yang terlibat telah dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi memberi keterangan lanjut dan menyelesaikan pertikaian tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Menurut Mohd Nasaruddin, tiada sebarang kecederaan serius dialami oleh kedua-dua belah pihak yang terlibat dalam insiden yang berlaku pada Ahad itu.

Katanya, hasil perbincangan yang telah diadakan kedua-dua belah pihak mengakui kesilapan masing-masing dan tidak berhasrat untuk meneruskan kes dan mahu menyelesaikan secara baik.

Mohd Nasaruddin turut menasihati agar orang ramai tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan dan salah faham berlaku dalam kalangan masyarakat.

"Sekiranya terdapat maklumat berhubung sesuatu insiden jenayah, orang ramai diminta supaya menghubungi IPD Pasir Mas ditalian 09-793 2222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan untuk tindakan lanjut," katanya.

Media pada Isnin melaporkan sebuah video tular di laman sosial Facebook yang didakwa berlaku pergaduhan melibatkan senjata api adalah tidak benar.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir berkata, ia tidak melibatkan senjata apa sebagaimana dakwaan di Facebook. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram