SEORANG penjual mi di Vietnam ditahan pihak berkuasa gara-gara meniru gaya, Nusret Gokce atau dikenali sebagai Salt Bae, chef selebriti terkemuka dari Turki kerana dianggap melakukan propaganda antikerajaan, lapor BBC.
Bui Tuan Lam berusia 38 tahun, memuat naik sebuah video yang mempersendakan seorang menteri kanan kerajaan yang sebelum ini menghabiskan sekitar RM7,759 ketika berkunjung ke restoran Salt Bae itu.
Harga daging bersalut emas itu mengejutkan orang ramai terutamanya rakyat Vietnam yang hidup dalam kemiskinan selain berdepan kemungkinan dipenjara oleh parti pemerintah jika melakukan kritikan.
Isteri Bui Tuan Lam memberitahu BBC Vietnam bahawa suaminya ditahan polis pada Rabu, sebelum pulang ke rumah beberapa jam kemudian dengan waran untuk menggeledah rumahnya.
Dia berkata, mereka sudah membuat persediaan untuk ditangkap selepas suaminya dipanggil polis pada November 2021.
Lam, yang mengusahakan gerai mi daging lembu di bandar Danang, pada masa itu memberitahu BBC dia tidak tahu mengapa dia dipanggil, sambil menambah bahawa polis menyatakan hal itu 'rahsia'.
Dia ditangkap pada Rabu di bawah Artikel 117, akta yang boleh menghukum mereka kerana menghasilkan atau menyebarkan maklumat terhadap negara.
Polis berkata, pihak berkuasa berulang kali memberi amaran kepada Lam supaya tidak menyiarkan kandungan yang menghina kehormatan dan reputasi pemimpin.
Video parodi Lam disiarkan beberapa hari selepas Jeneral To Lam, Menteri Keselamatan Awam Vietnam, dirakam sedang makan di restoran mahal Salt Bae di London, England. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram