Kemunculan pertama Sultanah Kelantan


  • Primer
  • Selasa, 13 Sep 2022

Nur Diana Petra (tengah) bergambar bersama ahli PKDK di Istana Negeri, Kubang Kerian, Kelantan pada Selasa. — Facebook/ UNIT MEDIA PEJABAT SULTAN KELANTAN

SULTANAH Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah membuat kemunculan pertama di Istana Negeri Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan selepas diisytihar sebagai Sultanah Kelantan pada 2 Ogos lalu.

Pada majlis dihadiri baginda itu, Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan berkenan menerima menghadap Pertubuhan Kerabat D’Raja Kelantan (PKDK) di Istana Negeri Kubang Kerian.

Perkara tersebut dimuat naik oleh laman sosial Facebook Unit Media Pejabat Sultan Kelantan pada Selasa.

Pada majlis itu, baginda berkenan mengurniakan cendera kenangan kepada semua ahli rombongan.

Rombongan tersebut diketuai oleh Presiden PKDK, Tengku Ramizan Tengku Abdul Aziz dan beberapa ahli pertubuhan yang lain.

Pada 2 Ogos lalu, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengisytihar Duli Yang Maha Mulia Sultanah Nur Diana Petra Abdullah, isteri baginda dengan gelaran Sultanah Kelantan.

Pengisytiharan itu dibuat Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob di Istana Balai Besar.

Ahmad semasa membaca perutusan itu berkata, pengisytiharan itu dibuat sebagaimana mengikut Fasal (1) Perkara 43 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram