LIMA buah kenderaan disahkan terbabit setakat ini dalam kemalangan akibat jalan licin berikutan berlaku tumpahan minyak diesel sejauh kira-kira dua kilometer di jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu, Bandar Permaisuri, Terengganu, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintenden Polis, Afandi Hussin berkata, sehingga pukul 4 petang sebanyak lima laporan polis diterima daripada pemilik kenderaan terbabit dalam kemalangan akibat hilang kawalan di Kilometer 69 hingga 71.
Katanya, insiden tumpahan minyak diesel itu berlaku pada pukul 6 pagi dipercayai dari sebuah kenderaan pacuan empat roda berwarna hitam.
"Kenderaan itu dikatakan membuat pengisian minyak dalam tong yang diletakkan di bahagian belakang kenderaan di sebuah stesen minyak di Bandar Permaisuri sebelum kenderaan itu bergerak menghala ke arah Kuala Terengganu," katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, insiden itu tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan parah dalam kalangan mangsa kemalangan.
Menurut Afandi, kebanyakan pemandu dikatakan hilang kawalan ketika melalui lokasi tumpahan minyak itu kerana permukaan jalan yang licin sehingga menyebabkan kenderaan mereka terbabas dan ada yang terbalik.
"Polis percaya masih terdapat mangsa kemalangan yang masih belum tampil membuat laporan polis.
"Susulan kejadian itu, polis dengan kerjasama beberapa agensi termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dikerahkan ke tempat kejadian untuk mengawal lalu lintas dan membersihkan tumpahan tersebut sebelum kerja membersihkan jalan tamat jam 12.14 tengah hari," katanya.
Afandi berkata, polis sedang mengesan pemilik kenderaan pacuan empat roda tersebut untuk tindakan lanjut.
Sementara itu, difahamkan jumlah sebenar kenderaan terlibat kira-kira 20 buah termasuk penunggang motosikal, namun ada yang masih belum tampil membuat laporan kepada pihak berkuasa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram