KEMUNCULAN pokok tumpang yang sudah membesar setinggi pokok dua tingkat kini menjadi ketakutan buat penduduk di Blok 29, Flat Sri Perak, Sentul, Kuala Lumpur kerana memberi kesan kepada struktur bangunan.
Menurut Ketua Blok 29, Khairol Faddil Sulaiman, isu tersebut sudah berlarutan sejak 10 tahun yang lalu dan semuanya bermula dengan isu burung yang terlalu banyak.
Khairol Faddil (tengah) bersama sebahagian daripada penduduk di Blok 29, Flat Sri Perak.
"Di sini memang ada yang beri makan burung di taman permainan dan akhirnya, taik burung penuh. Bukan itu sahaja, taik burung yang hinggap di dinding bangunan menjadi punca tumbuhnya pokok tumpang.
"Sebelum ini kita dah tanya dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tetapi diminta untuk potong mencantas sendiri sebab pokok itu di luar bangunan.
"Habis apa gunanya kami bayar RM45 sebulan untuk duit penyelenggaraan kalau DBKL tak mahu bertanggungjawab," katanya.
Keadaan pokok tumpang yang sudah setinggi bangunan dua tingkat.
Menurut Khairol Faddil, sebelum ini mereka ada melakukan gotong-royong membuang pokok tumpang tetapi tidak semua memandangkan ada yang sudah terlalu besar.
Jelasnya, pokok tumpang ini akhirnya menjadi ketakutan penduduk kerana akar pokok itu sudah mula merayap sehingga merosakkan struktur bangunan.
"Konkrit pecah, besi penghadang dah mula tercabut, saluran paip bocor dan pecah. Semua ini merisaukan penduduk," katanya.
Nurul Azirah mengakui takut kerana struktur rumahnya sudah mula terganggu akibat pokok tumpang.
Sementara itu, seorang suri rumah, Nurul Azirah Jamaludin, 31, berkata, akar pokok tumpang sudah mula merosakkan besi penghadang di bahagian belakang rumahnya.
Malah, dia sendiri menghalang anaknya untuk bermain di bahagian belakang rumah yang terletak di tingkat lima itu kerana risau berlakunya perkara tidak diingini.
Keadaan struktur bahagian dapur yang retak, pecah dan besi penghadang juga mula terhakis akibat pokok tumpang.
"Bukan sahaja struktur batu itu dah pecah, tetapi besi penghadang juga sudah mula reput dan bergoyang.
"Jadi, apa yang saya lakukan sekarang ialah terpaksa tutup ruangan itu dengan papan untuk menghalang anak-anak daripada dekat," katanya.
Sementara itu, Majoriti sedang mendapatkan maklum balas berkenaan dengan isu tersebut daripada pihak DBKL. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram