Sultan Selangor tarik darjah kebesaran Najib, Rosmah


  • Primer
  • Isnin, 12 Sep 2022

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menarik semula Darjah Kebesaran yang dianugerahkan kepada Najib dan Rosmah pada Isnin.

GELARAN bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang dianugerahkan pada 2004 dan gelaran Datuk yang dianugerahkan pada 1992 ditarik balik oleh Sultan Selangor pada Isnin.

Selain Najib, gelaran Datin Paduka Seri isterinya, Datuk Seri Rosmah Mansor juga ditarik balik selepas didapati bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dikenakan ke atasnya berhubung projek solar di Sarawak.

Gelaran yang dimiliki Rosmah dikurniakan pada 2005.

Sebelum ini, Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Mohd Amin Ahmad Ahya berkata, Istana Selangor menggantung gelaran tersebut berkuat kuasa 6 Mei 2021 memandangkan kedua-dua individu berkenaan itu menghadapi beberapa pertuduhan melibatkan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram.

“Penggantungan gelaran dan penggunaan Darjah Kebesaran yang dikurniakan DYMM Sultan Selangor ini akan disemak semula selepas kes dimuktamadkan di mahkamah.

“Penggantungan ini selaras dengan kuasa Baginda di bawah Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959, Statut Darjah Kebesaran yang berkaitan dan konvensi yang diamalkan di negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan pada Mei lalu.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd.

Pada 26 Oktober 2018, Istana Negeri Sembilan menarik semula pengurniaan darjah kebesaran kepada Najib dan Rosmah.

Setiausaha Kerajaan Negeri merangkap Pendaftar Darjah, Dr Razali Ab Malik berkata, penarikan semula itu membabitkan Darjah Seri Utama Negeri Sembilan (SPNS) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama kepada Najib dan Darjah Seri Paduka Tuanku Ja'afar Yang Amat Terpuji (SPTJ) yang memberi gelaran Datuk Seri kepada Rosmah. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram