SEORANG pemandu e-hailing pada Isnin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Georgetown, Pulau Pinang atas empat pertuduhan menjadi dalang dalam kegiatan pelacuran.
Mengikut semua pertuduhan, Lee Eng Seng, 45, didakwa hidup sepenuhnya atau sebahagiannya daripada hasil persundalan empat wanita warga asing di sebuah hotel di Jalan C.Y. Choy, Pulau Pinang antara pukul 5.55 petang hingga 8 malam pada 30 Ogos lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 372A(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan sebat dan juga boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Hakim Mohammad Khalid AB. Karim membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 untuk kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan Lee perlu melapor diri di balai polis terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.
Sebutan semula kes ditetapkan 13 Oktober ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Shahrezal Mohd Shukri manakala tertuduh diwakili peguam Tey Yi Kai. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram