Tuhan menegur diriku — Madeline Berma


  • Tular
  • Jumaat, 09 Sep 2022

Madeline berkongsi pengalaman selama lapan hari di Hospital Sibu, Sarawak pada Khamis.

KESIHATAN merupakan salah satu anugerah yang diberikan sang pencipta kepada hambanya untuk meneruskan kehidupan.

Perkongsian penganalisis politik, Profesor Datuk Dr. Madeline Berma mengenai pengalamannya berada di Hospital Sibu, Sarawak menarik perhatian orang ramai.

Melalui satu hantaran yang dimuat naik di Facebook, beliau berkongsi pengalaman selama lapan hari di hospital tersebut.

Beliau terharu dengan layanan yang diberikan oleh jururawat yang menjaganya semasa terlantar di katil hospital.

"Tuhan menghadirkan jururawat hospital yang memberikan perkhidmatan yang sangat baik dan penuh kemesraan kepada saya.

"Tuhan menghadiahkan saya ramai sahabat baharu di Sibu, Sarawak dan persahabatan mereka amat saya hargai, dan tidak mungkin terbalas," katanya menerusi satu hantaran dalam Facebook.

Tambahnya lagi, beliau begitu terkesan dengan kehadiran kawan-kawan baharu di tempat yang beliau jarang kunjungi.

"Bukan di Kuching, Sarawak saya dikelilingi adik-beradik dan saudara mara dan bukan juga di Bandar Baru Bangi, Selangor dikelilingi sahabat dan rakan.

"Tetapi di Sibu, tempat yang jarang saya kunjungi apatah lagi tanpa ada sesiapa yang rapat dikenali.

"Tuhan menegur diriku, untuk menghargai segala yang berlaku dan kehadiran insan-insan istimewa dalam hidup tanpa diduga," jelasnya.

Di ruangan komen, rata-rata rakan Madeline memberi kata semangat buatnya supaya terus sihat dan ada juga sempat menceritakan pengalaman mereka bertemu dengannya.

"Saya juga amat bersyukur ditemukan dengan insan luar biasa bernama Prof. Datuk Dr. Madeline Berma yang sangat peramah dan tidak sombong sudi bergaul dengan kami yang serba kekurangan ini.

"Terima kasih atas tunjuk ajar dan kata-kata nasihat buat kami semua. Kami di sini sentiasa merindui suara datuk dan semoga anda sentiasa dalam lindungan tuhan," kata Rosmah Abdullah.

"Jaga diri Dr. Madeline Berma, semoga diberikan kesembuhan supaya dapat terus berjasa kepada masyarakat," jelas Sazlina Kay. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram