YANG Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun memaklumkan sudah menerima dokumen tambahan mengenai kedudukan Datuk Seri Najib Tun Razak pada Khamis.
Menurutnya, Najib masih kekal sebagai Ahli Parlimen Pekan dengan mengambil kira dokumen tambahan notis usul tersebut selain permohonan pengampunan yang sudah dibuat sebelum ini.
"Dokumen tambahan itu adalah surat daripada Tetuan Shafee & Co bertarikh 7 September 2022 mengenai permohonan Semakan Jenayah (Review) menurut Kaedah 137 Kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 kepada Mahkamah Persekutuan.
"Yang turut dilampirkan dokumen notis usul bertarikh 6 September 2022, afidavit sokongan yang diikrarkan oleh Najib pada 6 September 2022 dan perakuan segera bertarikh 6 September 2022.
"Salinan surat iringan Tetuan Shafee & Co bertarikh 6 September 2022 menunjukkan pengakuan pihak Mahkamah Persekutuan menerima pemfailan permohonan Semakan Jenayah terbabit pada 6 September 2022," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, dia sudah meneliti usul terbabit dan mendapati bahawa ia satu prosiding mahkamah berkenaan dengan sabitan dan hukuman terhadap Najib dan tergolong dalam 'prosiding dengan mahkamah lain berkenaan dengan sabitan dan hukuman' seperti yang diperuntukkan di dalam Perkara 48 (4) (b) Perlembagaan Persekutuan (PP).
"Oleh kerana usul ini difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022, berdasarkan Perkara 48 (4)(b) PP, kuat kuasa kehilangan kelayakan Najib hanya akan berlaku setelah usul terbabit dibereskan.
"Mengambil kira permohonan pengampunan yang sudah dibuat sebelum ini dan juga usul terbabit di atas difailkan, maka status Najib sebagai Ahli Parlimen Pekan pada masa ini tidak berubah dan akan hanya dimuktamadkan selepas kedua-dua permohonan pengampunan dan usul terbabit dibereskan," katanya. — Sinar Harian
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram