Peguam Najib mohon semakan keputusan kes SRC


Mahkamah Persekutuan pada Ogos mengekalkan pensabitan dan hukuman ke atas Najib bagi kes SRC International.

PEGUAM Datuk Seri Najib Tun Razak memohon semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan, Putrajaya mengekalkan pensabitan dan hukuman bagi kes SRC International.

Permohonan oleh Shafee Abdullah itu difailkan pada Selasa, menurut sumber, lapor FMT.

“Permohonan memohon semakan itu menyatakan bahawa berlaku salah laksana keadilan dan Najib dinafikan hak untuk membela diri di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya,” kata sumber itu yang minta tidak dinamakan.

Pada Selasa, ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Puad Zarkashi menggesa peguam Najib memfailkan semakan keputusan mahkamah tertinggi berikutan kenyataan bekas peguam negara Tommy Thomas.

Puad berkata, kenyataan Thomas dalam temubual dengan Malaysiakini menunjukkan pilih kasih dalam kes Najib seperti yang dinyatakan oleh bekas menteri undang-undang Zaid.

Sebelum ini, Zaid berkata, Thomas bercanggah dengan dirinya sendiri dengan mula-mula mengatakan bahawa kes itu adalah “paling mudah untuk dibuktikan” tetapi kemudian dalam temubual yang sama, bekas peguam negara itu berkata kes terbabit “rumit” disebabkan banyak dokumen dan transaksi yang perlu disemak semula.

Firma Zaid dilantik untuk mengendalikan rayuan Najib tiga minggu sebelum ia didengar oleh Mahkamah Persekutuan, Putrajaya.

Permohonan untuk penangguhan tiga hingga empat bulan untuk menyediakan dan menyemak “rekod rayuan yang banyak” ditolak.

Beliau juga menegaskan, dalam temubual itu Thomas berkata, beliau bertekad untuk mendapatkan peguam terbaik dan paling bijak untuk mendakwa najib tetapi bekas perdana menteri itu tidak diberi peluang yang sama untuk membela diri.

Zaid berkata, apabila Najib cuba mengambil Peguam Diraja UK Jonathan Laidlaw, Mahkamah Tinggi menolak permohonannya dengan mengatakan bahawa kepakaran asing tidak diperlukan kerana peguam Malaysia mampu mengendalikan kes melibatkan pengubahan wang haram dan pertuduhan rasuah di bawah undang-undang tempatan.

Pada 23 Ogos, Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara kepada Najib selepas mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram