'Instafamous' trauma diganggu 'penyokong' Man United


  • Tular
  • Jumaat, 02 Sep 2022

Tangkap layar menunjukkan suspek yang ditangkap menceroboh ke sebuah pejabat seorang selebriti berpengaruh di laman media sosial.

KEHIDUPAN seorang pempengaruh media sosial atau influencer tidak selalunya indah seperti yang dipaparkan kepada orang ramai.

Mereka bukan sahaja dianggap terkenal, malah turut mempunyai ramai pengikut yang meminati kehidupan mereka.

Namun, nyawa mereka juga diancam bahaya apabila memiliki peminat fanatik yang terdesak untuk mengenal mereka dengan lebih rapat.

Perkara itu terjadi kepada seorang pempengaruh, yang dikenali sebagai Wannursyaira apabila berkongsi pengalamannya menerusi laman Instagram peribadinya.

Katanya, dia berdepan detik cemas apabila peminat fanatik itu bertindak memecah masuk ke dalam pejabat dan merosakkan harta barangan miliknya.

Ini termasuk tindakan suspek membakar langsir, memusnahkan barangan peribadi dan hiasan rumah, merosakkan hasil lukisan serta meninggalkan pakaian dalam di bilik mangsa.

Tangkap layar menunjukkan hasil lukisan yang dilempar oleh peminat fanatik itu.

Dalam kejadian yang berlaku di ibu negara itu, suspek pada mulanya bertindak menjerit nama selebriti tersebut di sekeliling bangunan tempat Wannursyaira bekerja.

Difahamkan, sebelum ini mangsa pernah menerima lamaran kahwin dan ayat-ayat cinta di laman Twitter peribadi, sekali gus meninggalkan kesan trauma padanya.

"Saya mula berasa pelik apabila melihat pintu balkoni terbuka dan beberapa hasil lukisan saya dilempar ke cermin tingkap.

"Berasa kurang selamat, tidak lama selepas itu pihak pengawal menelefon saya dan memberitahu terdapat seorang lelaki yang sedang menjerit di unit pejabat saya.

"Terkejut dengan apa yang terjadi, lebih menakutkan apabila suspek merupakan lelaki sama yang mengganggu saya di laman sosial selama ini," tulisnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang lelaki berusia 28 tahun yang memaklumkan mengenai kes itu.

"Pihak polis telah bergegas ke tempat kejadian dan menahan suspek berusia 30 tahun yang turut mencucuh sofa dan gambar hiasan dinding di dalam rumah pengadu dengan menggunakan puntung rokok.

"Suspek didapati mengalami masalah mental dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat dan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat terhadap insiden ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul ditalian 03-40482222 — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram