
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), namun, masih belum ada perbincangan rasmi mengenainya.
Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz berkata, PH sebagai sebuah gabungan akan memulakan perbincangan dalam kalangan parti komponennya terlebih dahulu.
Menurutnya, Muda akan memastikan tidak berlaku pertindihan kerusi dengan PH pada PRU15 seperti yang terjadi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.
"Muda tidak boleh bergerak secara solo dalam PRU15 nanti. Jadi kami perlu bekerjasama dengan parti yang memiliki prinsip dan dasar sama seperti kami.
"Sekiranya sama seperti PRN Johor, maka parti gabungan PH akan berbincang mengenai pembahagian kerusi sesama mereka terlebih dahulu.
"Selepas itu, barulah kita berharap satu perbincangan akan diadakan bersama Muda untuk membentuk gabungan.
"Muda yang baharu didaftarkan pada Disember tahun lalu memerlukan kerjasama dengan parti lain untuk bertanding pada PRU15.
"Oleh itu, kita mengintai peluang untuk kerjasama dengan PH seperti mana dilakukan pada PRN Johor sebelum ini," kepada pemberita selepas melawat rumah flat Taman Mount Austin, Johor Bahru pada Jumaat yang terbengkalai sejak 20 tahun lalu.
Pada PRN Johor Mac lalu, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin menyaksikan pertembungan antara Muda dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR), namun kedua-dua calon parti itu tewas kepada calon Barisan Nasional (BN). — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram