Ibu terselamat, 2 beradik rentung rumah terbakar di JB


  • 112
  • Sabtu, 03 Sep 2022

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih disiasat. — Sinar Harian

DUA beradik rentung dalam kebakaran di sebuah rumah di Jalan Bunga Raya Besar, Kampung Dato Sulaiman Menteri, Johor pada Sabtu.

Penolong Pesuruhjaya Bomba, Mohd Rizal Buang yang juga Pemangku Pengarah JBPM Negeri Johor, berkata, kejadian pada pukul 1.41 tengah hari itu mengorbankan Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2.

Beliau berkata, seramai 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau dan Larkin dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Pemadaman awal dilakukan oleh orang awam menggunakan jirusan air paip dan tindakan pemadaman susulan dilakukan pihak bomba dengan menggunakan jentera fire rescue tender.

"Dua mangsa ditemukan rentung di ruangan bilik tidur dan kebakaran mengakibatkan kemusnahan 60 peratus daripada keseluruhan bilik,” menurutnya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohd Rizal berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Aminah, Johor untuk tindakan lanjut dan punca kebakaran masih disiasat.

Beliau berkata ketika kejadian, terdapat tiga individu di dalam rumah tersebut iaitu mangsa dan ibu mereka.

Ibu mereka bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kita akan menyiasat dengan teliti termasuk meminta bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba. Unit K9 dalam perjalanan ke Johor dari Kuala Lumpur,” katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram